HANYA kemenangan dicari Johor Darul Takzim (JDT) ketika bertemu Ulsan Hyundai FC pada perlawanan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu, dalam memastikan layak ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, Harimau Selatan itu yang kini berada di tempat kedua Kumpulan I itu, bersedia untuk memberikan cabaran kepada pasukan dari Korea Selatan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan tersebut.
"Esok kami berpeluang untuk memberikan Malaysia, Johor dan semuanya, satu keputusan yang terbaik dan mengubah haluan bola sepak di Malaysia.
"Kami fikirkan cara terbaik untuk kami ialah mengekalkan semangat melawan dan dispilin taktikal dalam berhadapan Ulsan Hyundai, yang kita tahu sebuah pasukan yang bagus, dan tentu sekali telah menunjukkan pelbagai varian dalam permainan mereka,” katanya pada sidang media praperlawanan di Iskandar Puteri pada Jumaat.
Mengambarkan sebagai satu perlawanan terpenting dalam sejarah JDT dan Malaysia, Mora berkata, pemainnya akan memberikan prestasi terbaik mereka, walaupun berhadapan dengan cabaran di bulan ramadan.
"Sesi latihan kami setiap hari pada 5 petang, jadi kadangkala ia hujan dan sangat panas, kadang-kadang ia seperti mahu hujan dan lembap, tetapi selalunya kami rasai bahang dan pemain telah biasa bermain pada masa tersebut,” katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo berkata, walaupun mereka akan berhadapan masalah menyesuaikan diri dengan padang di Stadium Sultan Ibrahim, pasukannya akan lakukan yang terbaik.
"Rumput Stadium Sultan Ibrahim berbeza dengan tempat latihan kami dan juga Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.
"Kami cuma mahukan sesi latihan rasmi untuk satu jam (di Stadium Sultan Ibrahim) sebelum perlawanan (esok), tetapi tidak dapat peluang itu dari AFC, dan mereka menolaknya kerana keadaan padang, kami amat kecewa,” katanya.
Pada Sabtu, perlawanan terakhir Kumpulan I antara JDT dan Ulsan Hyundai akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada pukul 5 petang.
Kedua-dua Ulsan Hyundai dan JDT masing-masing telah mengutip 10 mata, tetapi kelab Korea itu berada di persada carta kumpulan dengan kelebihan gol, manakala Kawasaki Frontale dari Jepun dengan lapan mata di tempat ketiga diikuti pasukan Guangzhou dari China di tangga terakhir tanpa sebarang mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram