NASIB ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha akhirnya terjawap apabila dia dinasihatkan mengambil cuti rehat atas sebab-sebab keselamatan, dengan mengambil kira nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu dimaklumkan oleh pengurusan Tertinggi Penang FC Sdn Bhd ekoran kebimbangan berlaku kemarahan penyokong yang dikhuatiri boleh mendorong tindakan bersifat khianat jenayah daripada mana-mana individu yang kurang bijaksana dalam membuat apa-apa pertimbangan.
"Beliau bukan direhatkan atau dalam proses diambil tindakan disiplin. Hanya dalam proses perundingan penyelesaian yang adil dan ihsan yang melibatkan semua pihak berkepentingan.
"Pihak berkepentingan termasuk kepentingan penyokong Penang FC yang telah banyak mengeluarkan duit poketsendiri untuk datang ke stadium tempat sendiri dan stadium pihak lawan.
"Selain itu ialah pemegang kad bermusim dan ribuan pengguna merchandise Penang FC yang ada hak mereka untuk dilindungi sebagai 'pelabur' secara tidak langsung dalam pengukuhan dana syarikat (Kelab)," katanya di Facebook rasmi Penang Football Club pada Sabtu.
Penang FC masih mencari-cari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.
Selepas tewas 1-3 kepada Sri Pahang FC pada Sabtu, ramai peminat kian hilang sabar dengan taktikal diterapkan Trucha.
Jodoh Trucha bersama Penang FC dijangka tidak berpanjangan.
Malahan, nama Manzoor Azwira disebut-sebut oleh para peminat untuk menggantikan Trucha.
Kekalahan itu turut menyebabkan Penang FC berada di tangga tercorot liga dengan tiga mata selepas enam perlawanan.
Berita Trucha 'berehat' mendapat perhatian salah seorang bekas ketua jurulatih kelab tempatan yang seakan berminat untuk mengemudi Penang FC.
"Saya dengar ketua jurulatih Penang FC dipecat.
"Kelab yang menarik untuk dilatih, pulau yang hebat juga" kata Ramon Marcote ringkas kepada Majoriti.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk mengemudi Penang FC, beliau mengakui tidak mempunyai pihak untuk berhubung di sana.
"Adakah anda fikir penyokong Penang FC akan gembira jika kelab itu berfikir untuk mengambil saya sebagai jurulatih?" soalnya.
Ramon berkata turut memuji Pulau Pinang sebagai pulau dan bandar yang hebat serta menjadi impian banyak jurulatih untuk memimpin kelab itu.
"Saya amat menikmati pengalaman apabila berkunjung ke Pulau Pinang semasa membawa Kedah dulu," katanya.
Ramon juga menimbulkan persoalan tentang prestasi Penang FC yang merudum pada musim ini berbanding musim lepas.
"Bagaimana boleh berlaku masalah pada tahun ini?
"Ada yang beritahu saya bahawa mereka kehilangan bakat muda dengan ada antaranya berpindah ke Kedah," katanya.
Ramon pernah berkhidmat bersama Tan Cheng Hoe ketika membimbing Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015.
Malah Cheng Hoe pernah memberi kepercayaan kepada Ramon untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning semasa beliau menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pada penghujung tahun 2017, Ramon secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas Cheng Hoe dipanggil untuk membimbing skuad Harimau Malaya.
Selain itu, Ramon juga memiliki pengalaman sebagai jurulatih kecergasan untuk kelab Sepanyol, Altetico Madrid B dan baru tamat kontrak selepas membimbing skuad remaja Arab Saudi, Al Hilal.
Sepanjang mengemudi Kedah, rata-rata peminat bola sepak negara tertarik dengan corak permainan Sang Kenari yang disamakan dengan cara permainan tiki-taka Barcelona. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram