KEMELUT membabitkan pemain Indonesia, Saddil Ramdani yang tidak dilepaskan oleh pihak pengurusan Sabah FC untuk menyertai pasukan kebangsaannya ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam masih tidak menemui penghujungnya.
Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) sebelum ini dikatakan mahu mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memujuk Sabah FC melepaskan Saddil.
Sabah FC dalam satu kenyataan pada Khamis menjelaskan bahawa mereka enggan melepaskan Saddil atas alasan temasya Sukan SEA tidak termasuk dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Saddil dalam satu hantaran Instastory merayu kepada para penyokong Indonesia supaya tidak memanjangkan perkara itu dan menghormati keputusan Sabah FC.
"Teman-teman, saudaraku dan khususnya masyarakat Indonesia yang meminta saya untuk balik ke skuad kebangsaan, tolong hentikan ucapan atau komen yang tidak seharusnya diucapkan kepada pasukan Sabah FC dan pengurusan mahupun terhadap jurulatih.
"Semua (keputusan) adalah mengikut peraturan yang sedia ada, Sabah dan saya tidak ada masalah jadi janganlah beranggapan pasukan tidak melepaskan saya.
"Saya bukan pemain yang istimewa, saya sama saja dengan pemain di luar sana yang biasa-biasa dan tidak perlu diharapkan lebih," katanya pada Khamis.
Hantaran Instastory Saddil pada Khamis.
Menurut Saddil, Indonesia mempunyai ramai lagi pemain yang handal dan dia yakin ketua jurulatih, Shin Tae-yong mampu membawa kejayaan kepada negara itu.
Tambahnya, ketua jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee melayan semua anak buahnya secara adil dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih.
"Indonesia mempunyai ramai pemain berkualiti, bahkan jauh lebih baik dari saya. Jadi saya meminta tolong untuk tidak perlu membahaskan perkara ini kerana saya tidak mahu situasi yang tidak baik berada dalam pasukan akibat saya.
"Kalian perlu tahu jurulatih bekerja secara profesional dan melayan anak-anak didiknya secara neutral, saling sokong-menyokong dan sangat peduli antara satu sama lain.
"Jadi, saya selalu berdoa dan menyokong kejayaan skuad kebangsaan Indonesia. Saya sendiri yakin dengan jurulatih mahupun pemain Indonesia yang lain, apatah lagi kalian semua saudara-saudaraku," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram