Saddil tidak dilepaskan Sabah FC, Indonesia mohon campur tangan FAM


  • Podium
  • Rabu, 13 Apr 2022

PSSI mendesak Sabah FC supaya Saddil dibenarkan mempertahankan skuad Garuda Muda. — Agensi

SADDIL Ramdani dilihat cukup diperlukan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia memburu ibu segala pingat pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Lantaran itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akan mengadakan rundingan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya pemain itu dilepaskan daripada kelabnya, Sabah FC.

PSSI mengumumkan seramai 29 pemain dipanggil Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong ke pusat latihan Pasukan Kebangsaan (TC) B-23 pada 6 April lalu.

Saddil merupakan salah seorang daripada enam pemain kelab asing yang dipanggil selain Elkan Baggott, Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Egy Maulana Vikri dan Witan Sulaeman.

Pada masa sama, besar kemungkinan Saddil tidak dapat beraksi bersama skuad B-23 Indonesia pada Sukan SEA yang dijangka diadakan pada Mei nanti.

Hal ini kerana Sabah FC dilaporkan tidak mahu melepaskan pemain sayap berusia 23 tahun itu, berikutan kejohanan sukan Asia Tenggara itu tidak termasuk dalam kalendar rasmi FIFA.

Namun, PSSI tidak akan berputus asa apabila Pengerusinya, Mochamad Iriawan bercadang untuk berunding dengan FAM.

"Ini kita akan sampaikan, kalau ada rujukan, saya boleh berbincang dengan FAM.

"Saya akan lakukannya untuk membantu Saddil kerana ada ura-ura mengatakan pemain Malaysia dibenarkan (beraksi dalam Sukan SEA). Maknanya, saya akan bercakap dengan FAM kerana yang lain telah dibenarkan," katanya.

Menurut maklumat yang diterima Iriawan, Sabah FC sanggup melepaskan pemain bagi mempertahankan skuad Harimau Muda pada Sukan SEA 2021. Justeru, beliau mahu Saddil turut dibenarkan mempertahankan skuad Garuda Muda.

Saddil telah membuat penampilan dalam tiga perlawanan mewakili Sabah FC dalam Liga Malaysia yang bermula Mac lalu.

Dia telah menjaringkan satu gol dan sentiasa tersenarai dalam kesebelasan utama The Rhinos. Dia juga merupakan tonggak penting pasukannya.

Selain itu, dia juga tersenarai dalam skuad kebangsaan B-23 Indonesia meraih pingat perak pada Sukan SEA 2019 di Filipina selain menjaringkan dua gol pada temasya dwitahunan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah FC, FAM, PSSI, Saddil Ramdani