The Red Warriors perlu agresif dari awal, bukan separuh masa kedua


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Aksi pemain ketika perlawanan Kelantan FC menentang PDRM FC pada malam Isnin. — Facebook Kelantan FC

KELANTAN FC perlu lebih agresif pada separuh masa pertama ketika perlawanan Liga Premier pada malam Isnin, tegas Rezal Zambery Yahya.

Meskipun berpuas hati dengan kemenangan 3-1 menentang PDRM FC, ketua jurulatih The Red Warriors itu berkata, kebangkitan pasukan tersebut berlaku pada separuh masa kedua.

"Tapi bagi saya, mereka perlu start (mula) dari awal," katanya ketika sidang media selepas tamat perlawanan tersebut.

Mengulas lanjut, Rezal menyifatkan perlawanan pada malam Isnin itu sesuatu yang mendebarkan kerana PDRM FC menunjukkan kebangkitan pada minit ketujuh.

"Tetapi pada second-half (separuh masa kedua), kita telah tukar beberapa strategi ketika bermain dan alhamdulillah hasilnya (pemain) mendapat jaringan," katanya.

Dalam perlawanan yang berlansung di Bandar Sri Permaisuri, dekat Cheras, Kuala Lumpur itu, pasukan PDRM FC membuka jaringan pertama melalui sepakan penalti oleh Azrie Reza pada minit ke-7.

Separuh masa kedua bermula dengan asakan bertali arus daripada pasukan Kelantan FC. Pasukan Kelantan FC tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol penyamaan menerusi jaringan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-48.

Sejurus masuk minit ke-67, Kelantan FC berjaya meledak gol kedua menerusi rembatan deras Nixon Guylherme yang menggegarkan gawang pasukan PDRM FC.

Pasukan itu juga sekali lagi berjaya membolosi gawang pasukan PDRM FC pada minit ke-85 menerusi hantaran lintang Belfort dari kiri padang tepat ke arah Nixon untuk melepaskan satu rembatan kencang ke gawang gol lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram