NAMA Mohd Amri Yahyah tiba-tiba meniti di bibir peminat sukan bola sepak tanah air. Ini selepas legenda bola sepak yang kini mencecah usia 41 tahun itu berjaya mencipta hatrik buat pasukan Sabah FC dalam pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super pada malam Ahad.
Susulan persembahan yang cukup lincah dan bergaya daripada Mohd Amri yang sinonim dengan gelaran Wak Am itu, dia kini disebut-sebut berada dalam radar ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.
Penyerang skuad The Rhinos itu dikatakan calon sesuai untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya di bawah kendalian Pan-gon.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Raja Izzi berkata, dia bersetuju jika Wak Am kembali bermain dengan skuad kebangsaan namun beranggapan pelbagai faktor perlu diambil kira terhadap pemilihan itu.
"Setuju, tapi rasa dah tak sesuai dah. Kenapa dia masih boleh perform kelab, sebab dia jaga dan kekalkan kecergasan serta badan dia.
"Kalau dah tambah komitmen main (untuk) negara, masa dan kualiti akan hilang, badan akan mulai penat selain kecederaan akan kerap datang.
"Banyak pemain luar negara yang berhenti (beraksi di peringkat) antarabangsa macam Paul Scholes, Jamie Vardy dan lain-lain untuk fokus kelab bagi elak overload dan overwork badan," katanya di ruangan komen Facebook Harimau Malaya.
Antara komen penyokong tentang Mohd Amri jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan di bawah kendalian Pan-gon.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Ozst Manze berkata, dia bersetuju jika Wak Am bermain untuk Harimau Malaya sebagai super sub kerana faktor usia beliau.
"Sebagai super sub saya sokong...untuk full time (tempoh masa 90 minit) dalam padang, lebih baik bagi pemain yang lebih muda...pandangan je. Bukan nak kata Wak Am tak bagus, cuma nak bagi lebih minit untuk yang lebih muda," katanya.
Noor Husaini turut sependapat dan merasakan Wak Am sesuai bermain untuk super sub skuad Harimau Malaya.
"Untuk super sub aku rasa boleh, kalau main 90 minit takut pancit ja nanti," ujarnya.
Ahmad Saad pula berpendapat supaya peluang untuk bermain dalam skuad kebangsaan perlu diberikan kepada pemain lebih muda.
"Cari la bakat-bakat muda. Dia (Wak Am) dah level 'otai' dalam bola sepak negara, sampai bila kita nak harapkan yang senior. Bagi peluang kepada pelapis-pelapis muda yang berbakat," katanya.
Sementara itu, ada juga yang berpendapat kelemahan pasukan Kedah FC yang menjadi punca gawang Lang Merah dapat dibolosi dengan mudah oleh Wak Am.
"Tak payahlah. Dia perform sebab pertahanan Kedah bocor. Kalau jumpa pasukan yang solid defend, memang ke laut la," kata Muhammad Faiz.
"Tak relevan dah (sertai Harimau Malaya). Gol dia semalam pun sebab penjaga gol Kedah tu lubuk (mudah diserang)," kata Husin Hussam pula.
Dalam aksi keenam saingan Liga Super Malaysia 2022 yang menyaksikan pertembungan antara kedua-dua pasukan berkesudahan dengan keputusan Sabah membelasah Kedah dengan kemenangan besar 4-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram