5 fokus utama Northern Derby, Penang FC lawan Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Syazwan Zainon (kiri) akan mengemudi Kedah sebagai kapten untuk menentang barisan pimpinan Abdul Latiff Suhaimi.

NORTHERN Derby atau derbi utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya pada Ahad merupakan perlawanan penting Liga Super untuk kedua-dua pasukan berjiran itu.

Kedah yang bermula cemerlang dalam tiga perlawanan awal dengan kemenangan berturut-turut, akhirnya tertunduk dimalukan Selangor FC 1-4 pada minggu lepas, manakala Penang FC masih tercari-cari tiga mata penuh pertama selepas empat perlawanan.

Sang Kenari kini menghuni tangga ketiga liga berkongsi sembilan mata dengan Sabah FC dengan dipisahkan beza jaringan gol, sementara Penang FC di kedudukan kelapan mengumpul tiga mata.

Berdasarkan rekod pertemuan lima perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam Liga Super, tiga kemenangan berpihak kepada Kedah dan dua lagi perlawanan sekadar seri.

Di atas kertas, Kedah tidak mempunyai masalah untuk melebarkan rekod kemenangan ke atas Penang, ditambah dengan rekod baik beraksi di gelanggang lawan itu, setidak-tidaknya mampu mencuri satu mata.

Namun dua perlawanan Penang FC di tempat sendiri pada musim ini dengan keputusan seri ketika menentang Negeri Sembilan FC dan Melaka United, membuktikan Bandaraya bukan lubuk mudah untuk pasukan lawan mencari mata penuh.

Berikut adalah fokus utama yang menjadi bualan kedua-dua penyokong menjelang perlawanan antara Kedah dan Penang.

Formasi basi Aidil?

Kedah coach Aidil Sharin during the press conference. - Filepic

Formasi Aidil mula tidak menyenangkan penyokong Kedah.

Bukan lagi rahsia, pengendali Kedah, Aidil Sharin gemar menggunakan formasi 3-4-3 dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Walaupun taktikal ini dilihat menjadi pada siri perlawanan pramusim dan menjadi formula Aidil pada musim lepas untuk melonjak Kedah menamatkan saingan di tempat kedua, tetapi formasi itu dilihat goyah pada musim ini.

Rata-rata penyokong tidak mempunyai masalah dengan taktikal 3-4-3 tetapi bagi mereka, Aidil perlu bijak untuk menilai situasi dan kemampuan pihak lawan dalam mempraktikan formasi.

Mengambil contoh ketika melawan Selangor FC, pemain Red Giants dilihat bijak mengeksploitasi barisan pertahanan Kedah yang sepatutnya mendapat bantuan bek sayap.

Malah Selangor juga mendominasi bahagian tengah menerusi formasi 3-5-2 dan mungkin Aidil perlu belajar mengatasi kelemahan formasi ini.

Jadi pertemuan menentang Penang FC, Aidil perlu berani mencuba formula baharu bagi memastikan pasukannya versatil serta mampu menyesuaikan diri dalam kepelbagaian taktikal serta formasi.

Taktikal gerila Trucha

Thomas Trucha coaching his team against Kuala Lumpur. - Photo by Penang FC

Trucha masih hilang khidmat dua pemainnya akibat penggantungan.

Penang FC pula lebih gemar menggunakan formasi 4-1-4-1 di bawah kendalian Thomas Trucha.

Boleh dikatakan taktikal itu ternyata agak menjadi dan seimbang buat Trucha dalam empat perlawanan setakat ini.

Ini kerana Penang FC secara konsistennya bolos satu gol setiap perlawanan dan menjaringkan satu gol pada semua perlawanan kecuali ketika kalah 0-1 kepada JDT.

Statistik ini menunjukkan barisan pertahanan Penang FC yang agak ampuh tetapi jentera serangan masih belum membuktikan kemampuan sebenar.

Mungkin juga Trucha masih tertanggu dengan penggantungan dua pemainnya yang terlibat dalam pergaduhan awal tahun ini.

Prestasi import

Ronald Ngah

Pestasi Ronald dikritik penyokong Kedah.

Tidak dinafikan kedua-dua pasukan antara kelab yang rancak mendapatkan khidmat pemain import.

Tetapi jika dilihat berdasarkan prestasi semasa, pemain import Penang FC lebih menyerlah berbanding Kedah.

Ini yang dijelmakan di media sosial yang menyaksikan kalangan penyokong Hijau Kuning mula 'semak mata' dengan prestasi dan kualiti pemain import mereka yang hambar selain dihimpit kecederaan.

Ronald Ngah antara 'mangsa' kecaman penyokong susulan aksi hambarnya bersama Kedah setakat ini, sekali gus tidak menepati gelaran penjaring terbanyak Liga Jordan.

11 utama

Panthers' pride: Casagrande runs in delight after scoring a goal for Penang. - Photo by Penang FC

Casagrande memerlukan hantaran baik dari bahagian sayap.

Penang FC memerlukan banyak hantaran berkualiti dari bahagian sayap jika Trucha mahu terus menjadikan Caragrande sebagai target man.

Namun penyokong tetap mengharapkan pemain lain agar menyumbang gol tanpa terlalu bertanggung kepada Casagrande yang pastinya diikat ketat pertahanan Kedah.

Susunan pemain seperti ketika menentang Negeri Sembilan FC sesuai digunakan ketika menentang Kedah dengan hanya melibatkan perubahan kecil di bahagian bek kiri.

Ancaman

fayyad

Fayadh kini sudah menyumbat dua gol untuk Kedah.

Penyokong Penang FC juga sedar tentang bahaya kelincahan dua bekas pemain Harimau Kumbang iaitu pemain tengah, Amer Azahar dan sayap kanan, Al Hafiz yang nampak konsisten bersama Kedah.

Selain itu, ketangkasan Fayadh Zulkifli juga dikhuatiri menjadi duri dalam daging kepada Penang FC memandangkan pemain sayap itu sudah mencetak dua gol dalam empat perlawanan.

Pasti Trucha ada strategi tersendiri untuk merantai pergerakan Fayadh selain memperbaiki bahagian serangan agar lebih tajam dan menghasilkan lebih banyak jaringan.

Pertembungan derbi utara ini dijangka menyajikan aksi menarik pada malam Ahad, apatah lagi ketika kedua-dua pasukan mahu memulihkan semangat serta prestasi semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram