DUA gol penyerang import, Ronald Ngah dalam tempoh tiga minit berjaya memastikan Kedah Darul Aman (KDA) FC menyempurnakan kebangkitan dalam 'derbi utara' pada perlawanan Liga Super pada Ahad.
Perlawanan yang berkesudahan 2-1 kepada pasukan pelawat itu menyaksikan KDA FC melonjak ke tangga kedua liga dengan 12 mata, di belakang pendahulu Johor Darul Takzim (JDT) yang kurang satu perlawanan.
Dalam perlawanan itu beberapa perubahan dapat dilihat berlaku dalam skuad KDA FC yang tewas 4-1 kepada Selangor FC minggu lalu, sekali gus menjadi bahan bualan penyokong fanatik Sang Kenari.
1. Kebangkitan Ronald Ngah
Sebelum ini, Ronald Ngah sering dikecam penyokong yang dikatakan gagal memberikan impak sejak tiba ke dalam pasukan selepas hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan pertama sebelum ini. Dengan dua gol yang dijaringkan pada Ahad, dia dilihat sudah mula menunjukkan taring sebenar.
Seorang penyokong berpendapat bahawa Ronald Ngah sebelum ini gagal menyinar kerana tidak mempunyai bantuan yang baik dari rakan-rakan.
"Pemain macam Ronald Ngah ni ada kualiti tapi perlu ada sokongan dan lorongan yang baik, nampak bila guna dua defensive minded di bahagian tengah, dia jarang dapat bola, disjointed, tapi bila attacking minded Fazrul Danel masuk baru nampak penglibatannya," kata Faiz Rodzi.
Al-Hafiz Harun (kiri) beberapa kali berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan. — KDA FC
2. Work rate Al-Hafiz Harun
Dalam perlawanan itu juga, pemain sayap, Al-Hafiz Harun dilihat begitu rajin di bahagian kanan pasukan dan sentiasa pantas membantu pasukan ketika menyerang dan juga bertahan.
Gerakan yang dilakukannya juga beberapa kali berjaya mengkucar-kacirkan bahagian pertahanan pasukan Penang FC.
"Kalau dikira dari segi work rate Al Hafiz layak diangkat sebagai pemain terbaik... dia sentiasa berusaha untuk menguasai bola walaupun di kaki lawan," kata Mokti Md Zin.
3. Posisi baharu Marc Vales
Pada perlawanan itu, pertahanan yang berasal dari Andorra, Marc Vales ditugaskan untuk menjaga bahagian kanan oleh Aidil Sharin walaupun kebiasaannya bermain sebagai pertahanan tengah.
Dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri di posisi baharunya itu dan kegagalannya mengawal pemain sayap Penang FC pada separuh masa pertama menyebabkan tuan rumah berjaya mendahului. Namun, dia tampak boleh memahami tugas baharunya itu pada separuh masa kedua.
"Pertahanan kanan tu posisi baharu dia... memang teruk dia main tapi second half dah nampak ok... sebelum ni tak pernah main pertahanan kanan walaupun bersama kelab lama... dia CB (pertahanan tengah), DMF (pemain tengah bertahan) dan CMF (pemain tengah) saja," kata Wan Mujahidin.
KDA FC mendahului 2-1 dengan dua gol pantas Ronald Ngah. — KDA FC
4. Kealpaan hampir memakan diri
Selepas mendahului 2-1 pada minit ke-65, KDA FC seakan-akan sedikit leka sehingga membenarkan Penang FC membuat beberapa serangan berbahaya yang boleh menghasilkan gol.
Musim ini, KDA FC sudah bolos sebanyak tujuh gol daripada lima perlawanan dan jumlah itu dilihat sangat besar bagi pasukan yang mahu mencabar kejuaraan.
"Kedah bila dah ada dua gol tu, dia mula main dengan leka, perasan tadi bila tukar-tukar bola tengah padang, sekali kena rembat jenuh nak lari balik," kata Khairun Nuha.
5. Kehilangan Dennis Buschening
Kehilangan seorang lagi penyerang, Dennis Buschening dirasai oleh sebahagian penyokong KDA FC yang menyifatkan kehadirannya dalam pasukan boleh memberi sokongan tambahan buat Ronald Ngah.
Dia kini sedang menjalani proses pemulihan selepas kecederaan Achilles dan mungkin terpaksa berehat sehingga enam bulan.
"Sekarang tiada import yang boleh main role belakang Ronald Ngah disebabkan Dennis cedera. Kalau Dennis ada sekurang- kurangnya boleh jadi false 9... kalau musim lepas ada Kpah Sherman dan Tchetche Kipre... musim ni tinggal Ronald Ngah sahaja," kata Syafiq Ahmad.
Selepas ini, KDA FC dijadualkan menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram