KEKALAHAN Penang FC di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad menyaksikan kelab itu masih belum mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan pertama Liga Super musim ini.
Penang FC ketika ini menghuni tangga kesembilan liga apabila hanya memperoleh tiga mata hasil daripada tiga seri dan dua kekalahan.
Situasi itu jelas berbeza dengan skuad musim lalu yang yang mengejutkan ramai dengan menduduki tangga keempat liga selepas lima perlawanan.
Persembahan hambar skuad Harimau Kumbang itu membuatkan penyokong kecewa dengan aksi longlai yang ditampilkan musim ini.
Walaupun terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Hilal El-Helwe pada minit ke-16, Penang FC dihukum dengan dua gol pantas Ronald Ngah pada minit ke-62 dan 65 selepas kelalaian pasukan.
Ramai peminat yang berang kerana para pemain tidak menunjukkan semangat untuk berjuang selepas menjaringkan gol pertama.
"Dah score lepas tu tak fokus cari gol kedua... kerja nak terguling saja. Dah tahu pemain Kedah tu laju-laju... tak pasal saja kena comeback," kata Donquixote Aha.
Antara aksi menarik ketika perlawanan antara Penang FC dan KDA FC pada Ahad. — Penang FC
Selain itu terdapat aksi beberapa pemain yang dikritik oleh peminat antaranya Latiff Suhaimi, Endrick dos Santos dan Faizat Ghazli.
"Latif kena rehat... bagi peluang pada yang lain pula... betulkan posisi pemain dan guna player lain yang perform bila diberi peluang.. bukan berdasarkan rekod lama saja... Azim Rahim patut diberi peluang dari awal bersama Danial Ashraff.
"Endrick perlu ditegur kena naikkan level of game dia dan pemain sayap, Faizat boleh direhatkan sebentar. Cuba pemain muda yang bersemangat untuk bermain... bukan yang masuk tapi macam tumpang saja.
"Jangan hanya tunggu diserang dan bertahan... kita kena jaringkan gol juga bukan harap pada sorang dua saja. Bertahan sebagai satu pasukan, menyerang juga sebagai satu pasukan... bukan setengah saja attack lain-lain tunggu defend," kata Ahmad Fairus Hasree.
Walaupun terdapat segolongan penyokong menyalahkan ketua jurulatih, Thomas Trucha, seorang penyokong berpendapat bahawa kekalahan itu adalah disebabkan kecuaian para pemain.
"Keputusan seperti diramalkan. Kalau Melaka United dan Negeri Sembilan tak dapat diatasi di laman sendiri, jangan fikir Kedah tanpa dua tonggak. Kekalahan adalah kecuaian pemain-pemain dan bukan salah Trucha.
"Pemain-pemain perlu disiplin dan tidak boleh menghadiahkan penalti kerana ini menyuntik semangat pihak lawan. Ini kali kedua pihak lawan dapat penalti setelah permainan sebelum ini. Mungkin pemain-pemain tiada mental yang kuat... diduga menghadapi zon penyingkiran musim ini. Pemain-pemain yang boleh dipuji malam tadi ialah Khatul, Fairuz, Azizan," kata William Yeoh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram