Lebur rekod Ulsan, seluruh Asia termasuk 'haters' puji JDT


  • Podium
  • Selasa, 19 Apr 2022

JDT selepas ini akan berkunjung ke Jepun bagi melawan jaguh negara Matahari Terbit itu, Kawasaki Frontale pada 21 April ini. — Facebook

DUA jaringan masing-masing dari Bergason da Silva dan Fernando Forestieri sudah cukup buat Johor Darul Ta'zim (JDT) merentap ego kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan 1 Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL), JDT tidak menunggu lama merobek gawang Ulsan menerusi jaringan Forestieri pada minit ketiga.

Ulsan cuba bangkit menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-53 yang dihasilkan oleh Um Won-Sang.

Namun jaringan penyerang berbisa JDT, Bergason pada minit ke-80 sudah cukup buat Harimau Selatan mengutip mata penuh, sekali menghuni tangga pertama kumpulan dengan enam mata.

Kemenangan JDT itu bukan sahaja menerima pujian serata Asia tetapi turut meranapkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah Ulsan dalam semua pertandingan.

Ulsan merupakan juara ALC pada 2020 dan kini pendahulu liga K-League serta dibarisi ramai pemain kebangsaan Korea Selatan.

Antara peminat bola sepak yang menghamburkan pujian kepada JDT termasuk dari Thailand dan Vietnam.

Mereka mengucapkan tahniah kepada skuad kendalian Benjamin Mora itu kerana berjaya menundukkan satu daripada kelab gergasi Asia.

Wantawa Kongrawa dari Thailand menulis dalam ruangan komen di laman Facebook AFC Champion League, berkata, persembahan JDT sangat terbaik dan dia mengucapkan tahniah kepada kelab selatan Malaysia itu.

Manakala peminat dari Vietnam, Andy Yui Ming Chum pula berkata, JDT mencipta sejarah buat bola sepak Malaysia pada hari ini.

"Mengejutkan! Ulsan mempunyai pemain kebangsaan seperti Vako dan Jo Hyeon Woo tetapi JDT masih mampu mengalahkan mereka.

"Ini merupakan kekalahan ketiga pasukan K-League kepada lawan dari Asia Tenggara pada tahun ini," tulis Nicholas Leow.

Peminat tanah air juga tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada JDT atas kemenangan tersebut.

"Tumpang bangga dengan JDT, tahniah JDT! — fan Sabah," tulis Em Adam.

"Terbaik JDT..selaku wakil-wakil Malaysia..dari penyokong Terengganu," kata Umar Haris.

JDT selepas ini akan bertemu kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada 21 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, Ulsan Hyundai, ACL, Keputusan, Jadual