Janji bintang JDT lawan kelab gergasi Korea


  • Podium
  • Isnin, 18 Apr 2022

Selain menentang juara dua kali ACL itu, JDT juga bakal berdepan dengan kelab Kawasaki pada Khamis. — Johor Southern Tigers

LAGI beberapa jam pasukan Johor Darul Takzim (JDT) akan diuji kehebatannya apabila menentang kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), pada malam Isnin, lapor portal Harimau Malaya.

Pemain pertahanan Harimau Selatan, Shane Lowry memberitahu bahawa beliau dan barisan pertahanan akan memastikan gawang mereka tidak dibolosi apabila menentang Ulsan Hyundai nanti.

"Tugas saya dan barisan pertahanan adalah untuk pastikan benteng tidak ditembusi dan kami mahu kekalkan clean sheet sehingga tamat perlawanan," katanya katanya ketika sidang media pra perlawanan pada Ahad.

Tambahnya lagi, beliau teruja untuk beraksi menentang gergasi dari Korea Selatan itu dan mahu buktikan bahawa JDT mampu menyaingi mereka.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Benjamin Mora pula menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan anak buahnya dan mahu mengekalkan rekod tanpa kalah JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dalam saingan ACL.

“Tidak dinafikan mereka adalah sebuah pasukan yang hebat dan kami akan jangkakan mereka akan beraksi dengan baik sekali. Ya, mungkin pada perlawanan pertama menentang Kawasaki Frontale mereka tampak bergelut sedikit berkemungkinan besar kerana cuaca panas

"Tetapi apabila beraksi di SSI nanti, pasti mereka akan pamerkan aksi sebenar mereka,” ujar jurulatih itu.

Mora berkata, mereka sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan menentang Ulsan nanti dan mereka mahu terus cipta sejarah kerana percaya JDT mempunyai barisan pemain yang cukup berkualiti.

JDT membuka tirai kempen ACL mereka dengan langkah kanan apabila berjaya membelasah Guangzhou FC 5-0 di hadapan lebih belasan ribu penonton yang hadir bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Selatan.

Selain menentang juara dua kali ACL itu, JDT juga bakal berdepan dengan kelab Kawasaki pada Khamis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram