KELIBAT bekas pemain tengah kebangsaan, Irfan Fazail bersama Sabah FC jarang sekali kelihatan pada musim ini.
Irfan hanya beraksi dalam dua perlawanan awal Liga Super musim ini, namun hanya turun sebagai pemain gantian.
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Sabah FC secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT) selepas bergelut dengan masalah kecederaan.
Skuad Sang Badak di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee merupakan pilihan Irfan untuk memulihkan semula prestasinya sebagai salah seorang pemain tengah berbakat besar negara suatu ketika dahulu.
Pertama kali berkelana dari luar Semenanjung Malaysia, Irfan berkongsi pengalamannya berada di Sabah tahun ini khususnya ketika menyambut ibadah puasa di sana.
"Ini pengalaman baharu untuk saya dan keluarga dapat berbuka puasa lebih awal waktunya berbanding di Semenanjung Malaysia.
"Selain itu, pada bulan Ramadan, pasukan akan berlatih pada waktu malam, jadi saya akan memilih makanan yang sesuai ketika berbuka puasa.
"Pemilihan makanan yang sesuai adalah bagi memastikan dapat memberikan komitmen yang baik dalam sesi latihan," katanya kepada Majoriti.
Irfan (kiri) pernah beraksi bawah Kim Swee dalam skuad Harimau Muda.
Sabah FC kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan sembilan mata, hanya dipisahkan tiga mata dengan JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Ujar Irfan, perjalanan liga masih panjang, jadi dia berharap setiap pemain dapat memberikan fokus dalam setiap perlawanan sebagai satu pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram