SKUAD Sri Pahang FC tewas 1-2 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super musim ini di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu.
Kekalahan itu juga memadam misi skuad Tok Gajah untuk mencatat kemenangan pertama musim ini selepas dinafikan dengan mutu pengadilan pada dua perlawanan sebelum ini.
Seorang penyokong Sri Pahang, Ahmad Nordin melahirkan kekecewaan terhadap aksi longlai skuad kendalian Christophe Gamel itu di laman Facebook Sri Pahang FC.
Menerusi hantaran status itu, Ahmad Nordin berkata, pemain Sri Pahang dirasakan seperti tidak hati untuk bermain bersungguh-sungguh bagi memperoleh kemenangan.
"Berasaskan permainan menentang Melaka semalam. Saya nilaikan pemain Sri Pahang main macam tiada 'perasaan untuk nak menang'. Sekadar turun ke padang dan main," katanya pada Ahad.
Ahmad Nordin berkata, kelemahan yang paling ketara adalah di bahagian pertahanan di mana ia terlalu mudah untuk ditewaskan.
Bahagian depan pula katanya, tidak menampakkan satu corak menggempur yang digeruni oleh pihak lawan di mana terlalu mudah untuk dipatahkan.
"Manakala kebanyakan serangan Pahang pula datangnya dari sebelah kanan. Jika pasukan lawan meletak 2 ke 3 orang pertahanan yang bagus bagi mengunci pergerakannya, sampai habis permainan Pahang tak akan dapat menjaringkan gol.
"Nak menang macam mana? Ini baru berjumpa Kedah, PJ City dan Melaka. Belum lagi pasukan-pasukan yang jauh lebih ke hadapan seperti Selangor, KL, Sabah, Terengganu, jauh sekali dengan JDT.
"Letih weh kalau camni. Entah...sehingga kini tiada yang nak dibanggakan. Jauh sekali mengidamkan piala 'kejuaraan' untuk dijadikan 'hadiah' kepada ketua serta kepimpinan negara yang sekarang ini berasal dari Pahang Darul Makmur," tulisnya.
Luahan kekecewaan Ahmad Nordin di Facebook Sri Pahang FC. — Facebook
Dia turut meletakkan harapan kepada pihak pengurusan, barisan kejurulatihan serta pemain-pemain supaya dapat mengubah sikap sebelum terlambat.
"Saya maupun penyokong yang lain pun faham tentang sporting spirits - kalah atau menang adat permainan. Tapi kalau macam permainan semalam, mengapa aku ambil berat tentang pasukan ini?," persoalnya.
Tambahnya, ini kerana ada perkataan 'Pahang', iaitu negeri tempat dia dilahirkan.
"Jika tidak mahu aku dan kami semua mengambil berat dan mengomel tentang perkara ini, sila jangan taruk (letak) nama Pahang kat pasukan ini," katanya.
Sebelum ini, Gamel turut dilaporkan kecewa dengan aksi anak buahnya yang dikatakan tidak bermain seperti yang diharapkan hingga memberi ruang kepada lawan membolosi gawang dua kali.
Jurulatih dari Perancis itu mengakui terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan anak buahnya serta mereka tidak bermain dengan baik menyebabkan Sri Pahang FC gagal untuk mencatat kemenangan.
Selepas tiga perlawanan, skuad Tok Gajah itu berada di kedudukan ke-10 liga dengan mengutip satu mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram