'Kenapa hanya Saddil seorang?'


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Saddil tidak dilepaskan oleh pihak pengurusan Sabah FC untuk menyertai pasukan kebangsaannya ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

KEMELUT membabitkan pemain Indonesia, Saddil Ramdani yang tidak dilepaskan oleh pihak pengurusan Sabah FC untuk menyertai pasukan kebangsaannya ke Sukan SEA di Hanoi, Vietnam Mei ini masih tidak menemui penghujungnya.

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) sebelum ini dikatakan mahu mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memujuk Sabah FC melepaskan Saddil.

Sabah FC dalam satu kenyataan pada Khamis menjelaskan bahawa mereka enggan melepaskan Saddil atas alasan temasya Sukan SEA tidak termasuk dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kebanyakan penyokong Sabah FC berang dengan tindakan PSSI yang terus mendesak kelab itu melepaskan bintang mereka.

Seorang penyokong Sabah FC, Teo Kui Yung mempersoalkan tindakan PSSI yang begitu bersungguh-sungguh memanggil Saddil mewakili mereka tetapi tidak terhadap pemain lain yang juga beraksi di luar negara.

Dia memberi contoh pemain muda sensasi Indonesia, Elkan Baggot yang beraksi bersama kelab League One, Ipswich Town.

"Elkan Bagot pun mungkin tidak dilepaskan kelabnya. Sukan SEA tiada dalam Kalendar FIFA dan kelab tidak wajib melepaskan pemain," katanya.

Tambahnya, Saddil sendiri dibawa masuk oleh bekas ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto yang juga berasal daripada Indonesia, jadi tidak patut timbul isu pembelian pemain yang berstatus pemain kebangsaan.

"Kurniawan yang memanggil Saddil dan dia setuju. Sabah FC turuti saja apa yang Kurniawan mahu. Kalau PSSI mahu lapor sama FIFA, pergilah lapor. Tiada masalah," ujarnya.

Turut dibangkitkan adalah seorang lagi bintang Indonesia yang beraksi bersama kelab Jepun, Tokyo Verdy iaitu Pratama Arhan.

"Kenapa Saddil seorang saja yang mereka minta untuk lepaskan? Bagaimana dengan Pratama Arhan yang beraksi bersama Tokyo Verdy? Kenapa PSSI tak minta Tokyo Verdy lepaskan Arhan untuk skuad Indonesia untuk sukan SEA nanti?" soal Aliffriyendi Ryo III.

Sukan SEA Hanoi bakal berlangsung dari 12 sehingga 23 Mei 2022 dengan acara bola sepak bakal dipertandingkan awal bermula 6 Mei.

Dalam tempoh itu, Sabah FC bakal beraksi dalam empat aksi Liga Super dan satu perlawanan Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram