RAMAI peminat bola sepak tanah air teruja apabila Datuk Ong Kim Swee menghimpunkan semula anak muridnya dalam satu pasukan di Sabah FC.
Sabah berbelanja besar musim ini bagi memperkuatkan pasukan dan salah satu langkah yang diambil ialah mendapatkan pemain yang dulunya pernah beraksi bersama Harimau Muda di bawah kendalian Kim Swee yang merupakan ketua jurulatih Sabah ketika ini.
Antara pemain baharu Sabah yang dulunya pernah beraksi bersama Harimau Muda ialah Gary Steven Robbat, Khairul Fahmi Che Mat, Nazirul Naim, Irfan Fazail dan Dominic Tan. Khairul dan Irfan pernah membantu pasukan negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 lalu di Indonesia.
Selain membawa masuk bekas bintang Harimau Muda, pengurusan pasukan juga membawa masuk beberapa pemain senior dan pemain muda yang meningkat naik antaranya Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Stuart Wilkin, Azhad Harraz dan Harith Naem.
Namun keterujaan itu mula goyah dengan aksi longlai skuad The Rhinos dalam siri perlawanan persahabatan serta kekalahan mengejut 0-1 kepada pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan pada aksi pembukaan.
Tidak panik dengan kekalahan itu, Kim Swee ternyata mempunyai ramuan dan strategi tersendiri untuk meyakinkan penyokong bahawa skuadnya kali ini mampu memberi cabaran dalam saingan Liga Malaysia.
Sabah kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan berkongsi mata bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, tetapi dipisahkan dengan beza jaringan gol selepas menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Antara yang mencuri tumpuan penyokong adalah aksi Baddrol Bakhtiar yang mengejutkan ramai pihak apabila berhijrah ke Borneo selepas 16 tahun bersama Kedah.
Dalam empat perlawanan bersama Sabah FC musim ini, Baddrol sudah menjaringkan satu gol dan mencipta bantuan gol.
Mengulas tentang prestasi dan potensi pasukan Sabah FC di bawah kendalian Kim Swee, Baddrol mengakui dirinya dan rakan sepasukan perlukan masa sebagai sebuah pasukan baharu.
"Semestinya pasukan Sabah pada tahun ini (berbeza) dengan muka-muka baru, kami lebih terapkan dari segi kombinasi dan banyak taktikal yang diberikan oleh Datuk (Kim Swee).
"So bagi saya sendiri, dalam satu musim ingin mencapai sesuatu keputusan yang begitu tinggi, mungkin memberikan sedikit masa untuk kami bermain dalam satu pasukan yang baru
"So saya mengharapkan dari segi peribadi, hanya fokus satu game ke satu game, dan ingin bagi yang sebaik mungkin untuk pasukan Sabah dan yang semestinya kami dapat memberikan kombinasi yang memahami antara satu sama lain," katanya pada satu wawancara baru-baru ini.
Untuk rekod, Baddrol telah bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006 dan pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama skuad Malaysia B-23.
Pada 1 Disember, skuad Sang Badak mengumumkan Baddrol secara rasmi berada dalam senarai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram