PERSEMBAHAN hambar Sabah FC yang tewas 0-2 di tangan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC semasa beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super pada malam Sabtu jelas mengecewakan para penyokong Sang Badak.
Kekalahan itu membuat pasukan The Rhinos turun ke tangga ketiga dalam saingan Liga Super musim 2022 sehinggakan pelbagai kritikan yang dilontarkan oleh para penyokong termasuklah mempersoalkan keupayaan pemain import Sabah FC.
Jika perlawanan lalu penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa mendapat kecaman dari peminat Sabah FC, tetapi pada kali ini penyokong yang masih tidak berpuas hati tetap mendesak supaya pemain import pasukan itu perlu ditukar dengan kadar segera dan digantikan dengan duo import Melaka United, Ifedayo Olusegun dan Sony Norde.
"Ini la peluang Sabah ambil Sony Norde dengan Ifedayo itu sebab Melaka kan tidak bayar gaji mereka. Ganti penyerang import tumpul itu," cadang pengguna Facebook, Dexter Man Man.
Ifedayo kini bermain untuk Melaka United.
"Barisan serangan Sabah tumpul...maknanya ada striker import yang perlu undur atau ditukar dengan kadar segera. Kualiti mereka sama seperti kualiti striker tempatan, malah lebih baik. Peluang sudah banyak diberi tapi tetap sama dan tiada sebarang tanda kemajuan yang dibanggakan," ujar seorang pengguna Facebook, Candas Candas yang senada dengan Dexter Man Man.
Antara pemain import Sabah FC yang turun beraksi pada perlawanan berdepan KL City ialah pemain Brazil, Jackson de Souza, Park Tae-su dari Korea, Taiki Kagayama dan Saddil Ramdani.
Walaupun Sabah FC hanya mencatat dua kekalahan dari lima perlawanan, masih ada segelintir penyokong yang kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan terutamanya dalam kalangan pemain import The Rhinos musim ini.
Pada aksi Liga Super musim 2022 seterusnya, Sabah FC akan menerima kunjungan dari pasukan Kedah Darul Aman FC pada Sabtu depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram