Kemelut pelepasan Saddil, ini respons pakar


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Saddil (kiri) dilaporkan tersenarai dalam kem latihan pusat Indonesia. — Facebook Sabah FC

TEKA-TEKI tentang kemelut membabitkan pemain Sabah FC, Saddil Ramdani berhubung isu pelepasan menyertai pasukan kebangsaan Indonesia dalam saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, akhirnya terjawab.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Sabah FC menjelaskan keputusan itu sudah dibincangkan bersama Saddil dan pemain itu turut memahami alasan kelab tersebut.

Tambah kenyataan itu, Sabah FC bersetuju untuk melepaskan Saddil untuk tugasan pasukan kebangsaan semasa kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) seterusnya bermula 30 Mei hingga 14 Jun 2022.

Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) sebelum ini dilaporkan ingin berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memujuk Sabah FC melepaskan Saddil.

Mengulas lanjut berhubung isu berkenaan, penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli berkata, Sabah FC mempunyai hak mutlak untuk melepaskan Saddil atau tidak, sekiranya melihat dalam konteks profesionalisme.

"Ini bukan hak FAM atau PSSI. FIFA pun tak boleh ambil tindakan jika Sabah FC enggan melepaskan Saddil.

"Melihat kepada beberapa perlawanan Sabah FC dalam Liga Super musim ini, saya percaya khidmat Saddil dalam kesebelasan utama sangat-sangat diperlukan oleh ketua jurulatih Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee.

"Saya percaya segalanya juga bergantung kepada perancangan serta kehendak Kim Swee," katanya kepada Majoriti.



Saddil (kanan) antara tonggak muda skuad kebangsaan Indonesia.

Namun, tambah Pekan, sekiranya Saddil dilepaskan oleh Sabah FC, pasukan tersebut akan lebih dihargai dan dihormati oleh para penyokong Indonesia serta pemain itu sendiri.

"Tahu-tahu sajalah zaman media sosial ini. Perang siber boleh berlaku melibatkan isu Saddil antara penyokong Malaysia dan Indonesia.

"Lagipun, bola sepak ini acara berpasukan dan pasti ada pemain lain yang boleh menggalas tugas Saddil.

"Meskipun tidak sehebat Saddil, namun tidaklah sampai menyebabkan Sabah FC tewas dalam kesemua perlawanan sepanjang ketiadaannya.

"Cum tempoh pelepasan mungkin hanya dibenarkan untuk menyertai terus pertandingan dan bukan tempoh menjalani latihan pusat.

"Tamat cabaran di Sukan SEA, Saddil perlu terus kembali ke Sabah FC. Jadi tempoh ketiadaannya itu tidaklah terlalu lama," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram