PENYERANG lincah Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva 'memusnahkan' benteng pertahanan dalam kancah Liga Malaysia, namun mengalami kemarau jaringan di pentas Asia tahun lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu bermain dalam lima perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun lalu dan gagal menjaringkan gol dalam mana-mana perlawanan meskipun menampilkan prestasi mantap di Liga Super.
Namun kali ini, dia berjaya menamatkan kemarau jaringannya dengan bergaya.
Bekas pemain Fortaleza itu menjaringkan hatrik untuk membantu Harimau Selatan membelasah kelab China, Guangzhou 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.
Ia juga merupakan permulaan terbaik JDT dalam ACL.
Dua gol lagi disumbangkan oleh jaringan sendiri penjaga gol Guangzhou, He Lipan dan pemain sayap, Ramadhan Saifullah.
Dari awal hingga akhir permainan, juara bertahan Liga Super itu dominan ketika Guangzhou terpaksa bergelut dengan pasukan mereka yang dibarisi pemain simpanan dan tidak berpengalaman.
Pasukan kendalian Benjamin Mora menguasai 81 peratus penguasaan bola dan mencipta 24 peluang jaringan, sembilan daripadanya mengenai sasaran.
Menurut Da Silva, hatrik berkenaan adalah atas kerjasama rakan sepasukan dan dia hanya menjalankan tugas untuk kelab.
"Adalah bagus untuk memulakan pertandingan dengan kemenangan sebegitu.
"Kami tahu kualiti ACL tetapi bermain di laman sendiri dan bermain sebagai satu pasukan, memberikan kami keputusan baik.
"Keputusan itu akan memberi perangsang kepada kami apabila berdepan pasukan seperti Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.
"Kita hanya perlu berfikir bahawa perkara yang baik akan berlaku untuk kita.
"Tentang prestasi saya, saya hanya menjalankan tugas saya. Saya mahu melakukan segala-galanya untuk pasukan.
"Tidak penting berapa banyak gol atau bantuan hantaran yang saya dapat. Bagi saya, tiga mata penting, itu sahaja.
"Momentum ini bagus untuk perlawanan seterusnya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan.
Mora meraikan gol Bergson pada Jumaat. — AP
Sementara itu, Mora berkata, memperoleh kemenangan adalah cara JDT tanpa mengira siapa mereka berdepan.
"Tidak kira siapa kami berhadapan, kami mahu menang. Komitmennya adalah untuk terus bermain dengan cara JDT.
"Selama 95 minit, kami berdisiplin dari segi taktikal dan setiap corak permainan kami berjalan dengan baik.
"Kemenangan itu adalah usaha kolektif. Setiap pemain melakukan tugas mereka dengan baik.
"Bukan mudah untuk bermain menentang pasukan yang bermain formasi 5-4-1 dan untuk menjaringkan lima gol, juga tidak mudah.
"Untuk perlawanan seterusnya, kami akan menjadi lebih kuat dan berjuang dengan bermaruah," ujarnya.
JDT akan berdepan kelab Korea, Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram