Ibaratkan Guangzhou kelab M3, 'haters' JDT sepatutnya tumpang bangga


  • Podium
  • Sabtu, 16 Apr 2022

JDT membelasah juara lapan kali Liga Super China Guangzhou FC 5-0 pada aksi Kumpulan I Liga ACL.— Bernama

WALAUPUN Johor Darul Takzim (JDT) menang besar pada aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL), ada segelintir pihak yang menganggap ia bukanlah satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Perkara itu dikongsi di beberapa hantaran menerusi sosial media yang tidak tumpang gembira dengan kejayaan JDT membenam Guangzhou FC, 5-0 pada Jumaat.

Berkongsi di grup Facebook, Semuanya BOLA Group, pemilik akaun Pak Arab menyifatkan Guangzhou FC umpama pasukan dalam Liga M3 di Malaysia.

jdt acl 1

Katanya, tidak pelik jika Guangzhou FC dibelasah JDT sehingga 5-0 tetapi ujian sebanar adalah pada Isnin iaitu perlawanan menentang Ulsan Hyundai.

"Guangzhou ini ibarat pasukan yang main di Liga M3, datang dengan pemain muda.

"Tidak pelik kalau dibelasah 5-0, menang dengan pasukan begini, mahu meraikan pun rasa serba salah dan kalau pemain lain lawan pasukan lemah, mereka bila buat jaringan, reaksi mereka biasa sahaja,tidak beria sangat," kongsinya.

"Ujian sebenar Isnin nanti, yang ini nanti kita boleh tengok pasukan mana yang kejar bola dan mana yang pegang bola," kongsinya.

Hantaran Pak Arab itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan baik peminat bola sepak terutama daripada penyokong JDT.

Pemilik akaun Remmy Eloi Poulus meninggalkan komen yang membina menasihatkan supaya peminat bola sepak seharusnya menyokong mana-mana pasukan yang mewakili Malaysia di peringkat Asia.

"Jangan cemburu dengan kejayaan pasukan lain, kita sokong sahaja wakil Malaysia dalam kancah bola sepak Asia.

"Dia belasah pun tahap Liga Juara-Juara Asia, kita harus berbangga sebagai penyokong bola sepak Malaysia khususnya.

"Semoga selepas ini ada pasukan lain dari Liga Malaysia layak ke ACL pula," tulisnya.

jdt acl 2

Sementara itu, Onno Lifestory menulis di ruangan komen bahawa tidak kira JDT berdepan dengan pasukan 'ayam tua' atau 'ayam muda', dia akan tetap menyokong pasukan itu.

"Tetap menyokong mana-mana pasukan atau kelab yang mewakili Malaysia dalam ACL, tahniah JDT.

"Tidak kira lawan ayam muda ke ayam tua, menang tetap menang," katanya.

jdt acl 3

Terdahulu, JDT mengutip tiga mata pertama dengan bergaya apabila membelasah juara lapan kali Liga Super China Guangzhou FC 5-0 pada aksi Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bharu, Johor pada Jumaat.

Kemenangan anak buah Benjamin Mora itu dijana oleh persembahan bertenaga sepanjang 90 minit yang menyaksikan Bergson da Silva mencipta hatrik selain jaringan sendiri penjaga gol, Chen Zhengfeng dan gol Muhammad Ramadhan Saifullah Usman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram