JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab China, Guangzhou pada Jumaat.
Selain Guangzhou, JDT bakal berdepan cabaran sengit menentang Kawasaki Frontale (Jepun) dan Ulsan Hyundai (Korea Selatan).
Berikut adalah tiga 'talking point' menjelang perlawanan pertama JDT dalam kempen ACL musim ini.
Kelebihan bermain di Stadium Sultan Ibrahim
Bermain di gelanggang sendiri untuk kesemua enam perlawanan memberi kelebihan kepada JDT namun saingan kesemua kelab berkenaan tidak boleh dipandang enteng.
Bagaimanapun, ini merupakan satu peluang terbaik buat JDT untuk merebut sebanyak mana mata ketika beraksi di stadium sendiri.
Malahan, krisis kewangan yang dihadapi oleh Guangzhou sehingga terpaksa melakukan rombakan skuad secara besar-besaran pada tahun lalu, memberi kelebihan kepada JDT sewaktu bertemu pasukan itu.
Haziq (kanan) berpeluang tonjol kredibilitnya.
Haziq sandaran JDT
Selain itu, penjaga gol kedua JDT, Haziq Nadzli bakal memulakan debutnya pada musim ini pada Jumaat selepas Farizal Marlias dilanda kecederaan serius baru-baru ini.
Farizal dijangka terlepas saingan peringkat kumpulan ACL, sekali gus membuka ruang buat Haziq membuktikan kredibilitinya.
Haziq hanya melakukan tiga atau empat penampilan setiap musim bersama JDT namun peluang seumpama ini harus dimanfaatkan oleh pemain itu untuk menarik perhatian ketua jurulatih, Benjamin Mora supaya terus menggunakan khidmatnya meskipun selepas Farizal kembali daripada kecederaan.
Arif (kiri) berpotensi menjadi buruan kelab-kelab gergasi Asia. — Bernama
Medan pemain JDT tonjolkan bakat
Pertemuan JDT dan Kawasaki Frontale pasti merupakan sesuatu perlawanan yang ikonik susulan kehadiran bintang Thailand, Chanatip Songkrasin bersama kelab Jepun tersebut.
Namun, pemain-pemain seperti Arif Aiman, Safawi Rashid dan Akhyar Rashid perlu menggunakan peluang beraksi di pentas ACL sebagai medan untuk menambat hati pasukan gergasi Asia seperti Kawasaki Frontale.
Jika mereka mempamerkan aksi memberangsangkan, tiada mustahil mampu mengikut jejak langkah Chanatip suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram