SUDAH malang ditimpa tangga. Itu diibaratkan buat pemain dan barisan jurulatih kelab gergasi China, Guangzhou FC apabila dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Susulan kekalahan memalukan itu, pihak pengurusan kelab mendenda ketua jurulatih serta pembantu jurulatih pasukan dengan memotong gaji mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu seperti dilaporkan Titan Sport Plus di laman Twitter rasmi mereka, pemain pertahanan Guangzhou FC, Haojin Guan juga ditamatkan kontrak selepas insiden kad merah yang menimpanya kerana melakukan sepakan ke arah kepala penyerang JDT, Bergson Da Silva.
Keputusan ini dibuat oleh kerana pemain memakai jersi 88 itu telah melanggar etika yang telah ditetapkan oleh pihak kelab.
Selain itu, ketua jurulatih dan juga pembantu dikenakan tindakan adalah kerana kegagalan dalam mengawal disiplin pemain ketika di atas padang.
Tindakan drastik yang dibuat oleh kelab dari China ini dilihat sangat komited dalam melahirkan individu pemain bola sepak profesional yang berkualiti dari segi semua aspek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram