'Sumbangan JDT bukan saja kepada sukan tetapi pelancongan'


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

Disebabkan kejayaan JDT, media antarabangsa sudah mula peka dengan perkembangan bola sepak Malaysia. — JDT

INISIATIF yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Johor Darul Takzim (JDT) bukan sahaja berjaya menaikkan martabat kelab itu tetapi memberi sumbangan kepada negara secara keseluruhan.

Seorang penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC, Thaqib Shakir berkata, usaha yang dilakukan pemilik JDT itu turut menyumbang kepada industri pelancongan tempatan.

"Suka atau tidak, kita kena akui yang TMJ adalah seorang yang hebat dan kreatif... mungkin ramai yang nampak sumbangan baginda dari sudut sukan, tapi saya juga melihat dari sudut pelancongan.

"Dulu kalau orang datang ke Malaysia mesti mereka nak lawat KLCC, Pulau Langkawi dan Melaka... tapi sekarang kalau anda perasan sekarang, pelancong juga mahu singgah ke Johor untuk melawat Stadium Sultan Ibrahim kerana stadium itu macam stadium di England.

"Ada juga yang datang semata-mata untuk melihat JDT beraksi," katanya.

Tambahnya, disebabkan inisiatif yang dilakukan TMJ, ramai pemain-pemain legenda dunia sudah mula berminat untuk hadir ke negara ini dan media antarabangsa sudah mula peka dengan perkembangan bola sepak Malaysia.

Melihat kepada perkembangan itu, dia turut mencadangkan Kerajaan supaya menjadikan bola sepak sebagai salah satu kaedah untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram