'Tak masuk akal, memalukan kalau kalah dengan coach bidan terjun'


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Sri Pahang kalah 0-1 dalam aksi Liga Super menentang KDA FC di Stadium Darul Aman pada 7 April lalu. — Facebook

SELEPAS jurulatih Melaka United FC (MUFC), Risto Vidakovic ditamatkan kontrak pada 12 April lalu, segala tekanan kini terarah kepada Sri Pahang FC yang akan bertemu skuad Sang Kancil itu dalam saingan Liga Super pada 16 April ini.

Ini selepas skuad Sri Pahang FC melalui dua aksi hambar yang menyaksikan pasukan itu kalah 0-1 ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan sekadar seri 1-1 dalam pertemuan dengan PJ City FC.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Christophe Gamel berada di kedudukan ke-9 selepas Melaka United, masing-masing dengan satu mata.

Bagi Melaka pula, penolong ketua jurulatih, Mohd. Asri Ninggal dilaporkan harus menggalas tugas melatih pasukan sebelum pelantikan baharu ketua jurulatih diumumkan dalam masa terdekat.

Laman komuniti Facebook, Panthera Tigris Jacksoni berkata, para penyokong Sri Pahang FC boleh menerima dua keputusan perlawanan sebelum ini memandangkan kedua-dua lawan dilatih oleh jurulatih berpengalaman.

Bagaimanapun, katanya, jika Sri Pahang masih mengalami kekalahan dalam pertemuan dengan Sang Kancil nanti, ia dianggap tidak masuk akal kerana Vidakovic hanya dianggap coach bidan terjun.

"Kalau tak menang juga dengan Melaka memang Gamel perlu dimaki hamun selama tiga hari tiga malam.

"Mana nak letak muka kalau dengan pasukan yang dilatih jurulatih bidan terjun pun kita (Pahang) tak boleh menang," katanya pada Khamis.

Menurutnya, kalau Pahang masih tidak berjaya menang dan memperbaiki kedudukan, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dicadang boleh bawa masuk semula bidan berpengalaman untuk jadi jurulatih.

"Nama saja bidan terjun tapi sijil perbidanan dia lagi tinggi daripada sijil Abang Jamil...puuuuittttt... ramalan Sri Pahang 4, Melaka 0...," katanya sebagai previu kepada perlawanan itu.

Sri Pahang dijadual bertemu Melaka United pada 10 malam, 16 April ini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram