Gamel ‘fobia’ dengan pengadil, enggan jadi mangsa buat kali ketiga berturut-turut


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel. — Sri Pahang

PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel berharap pasukannya tidak menjadi mangsa kesilapan pengadil sekali lagi apabila turun menentang Melaka United FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu, lapor portal Labola Malaya.

Beliau berkata, kehilangan lima mata daripada dua perlawanan bukan sahaja satu kerugian yang besar buat pasukan, tetapi turut menjejaskan motivasi pemain.

Gamel bagaimanapun yakin anak buahnya mampu menampilkan persembahan yang baik ketika menentang Melaka United selepas berehat seminggu.

Dalam pada itu, bek kanan, Azwan Aripin berharap tuah akan bersama pasukan Sri Pahang FC apabila turun melayan kunjungan Melaka United FC pada Jumaat.

Azwan tidak rela pasukan tercicir mata sekali lagi dan berharap dapat membantu pasukan mengecap kemenangan pertama dalam saingan liga.

“Sepatutnya kita boleh menang kedua-dua perlawanan lalu, pasukan telah bermain baik seperti yang semua tahu kita dinafikan tiga mata bukan kerana silap kita, tetapi tiada guna kita mengeluh.

“Kami semua sudah move on, saya harap penyokong pun sama, yang penting adalah mendapatkan tiga mata dalam perlawanan seterusnya.

“Ketika ini, moral dan keyakinan dalam pasukan di tahap yang baik, semua bersemangat mahu memburu kemenangan pertama, sebagai hadiah buat penyokong dan mahu kembali meletakkan Sri Pahang di landasan yang betul,” kata pemain kelahiran Kelantan itu menerusi sripahangfc.com.my.

Azwan berpendapat walaupun Melaka United tidak mengharungi prestasi yang baik setelah hanya mengutip satu mata dalam empat perlawanan, pasukan itu juga akan tampil dengan semangat tinggi kerana turut terdesak memburu kemenangan pertama.

“Seperti yang jurulatih selalu ingatkan, kita kena hormat semua pasukan. Melaka juga seperti kita belum menang jadi ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Saya dan rakan sepasukan perlu memberi fokus penuh dan tiada alasan untuk lalai.

“Mereka ada rangkaian serangan terbaik dalam Liga Malaysia seperti Ifedayo, Emanuel Oti dan lain-lain yang mana jika kesemua mereka diturunkan boleh menjadi cukup berbahaya. Jadi kita perlu pastikan tiada kesilapan dilakukan,” ujarnya lagi.

Azwan yang bermain dua perlawanan awal menentang Manjung City FC (Piala FA) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC) sebagai pemain gantian, diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang PJ City FC minggu lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram