Silap pengadil, mana permohonan maaf FAM?


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

FAM mengakui kesalahan pegawai perlawanan ketika mengadili aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan PJ City FC pada Sabtu lalu. — Facebook

MESKIPUN Persatuan Bola Sepak (FAM) mengaku kekhilafan pengadil terhadap dua perlawanan penting Sri Pahang FC, namun sehingga kini tiada sebarang permohonan maaf rasmi dikemukakan.

Perkara itu dibangkitkan oleh kelab penyokong Pahang, Hogoh Pahang Hogoh yang kesal dengan tindakan FAM, tambahan pula pasukan itu bernaung di bawah kendalian mereka.

"Jika inilah sikap serta mentaliti badan induk yang bersifat bongkak,sombong hanya tahu mengampu TMJ (Tunku Mahkota Johor) ketika ini, setelah habis mengampu era kita, percayalah kita akan berhadapan sama seperti senario politik negara yg dipenuhi oleh manusia berpewatakan beruk semata mata.

"Jika tidak kerana ini negeri kita,negara kita dan bola sepak kita pasti lebih ramai yangg sudah angkat kaki dari menyokong liga bola sepak paling buruk ini.

"FAMB tempat hiburan si kapitalis," kata kelab itu menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, FAM mengakui ada kesilapan berlaku melibatkan dua perlawanan, antaranya perlawanan melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan Sri Pahang FC.

Namun, Jawatankuasa Penilaian Pengadil FAM tetap tidak akan mengubah keputusan asal walaupun ada surat bantahan dihantar oleh kelab Pantai Timur itu.

"Kalau ia kesalahan pengadil, memang tiada apa-apa tindakan dan hukuman ke atas mereka.

"Walaupun ada aduan daripada kelab dan pengadil mengaku ada sedikit kesalahan berlaku tapi ia setakat itu sahaja," kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S. Sivasundram.

Pada masa sama, FAM turut mengakui kesalahan pegawai perlawanan ketika mengadili aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, pengadil telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila membenarkan jaringan PJ City FC.

Menurut Abang Zulkarnain, perkara tersebut disahkan selepas analisis menerusi rakaman video dibuat ketika Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil pada Isnin.

Justeru, beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengadil berkenaan.

Sebelum ini, FAM turut memaklumkan akan mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai perlawanan yang bertugas dalam aksi Liga Super membabitkan KDA FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu lalu.

Ia selepas laporan Penilai Pengadil mendapati, terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram