Empat bekas jurulatih kebangsaan calon hangat ganti Risto Vidakovic


  • Podium
  • Sabtu, 16 Apr 2022

Vidakovic dipecat selepas persembahan longlai pasukannya dalam liga musim ini. — Melaka United

MELAKA United dilaporkan secara rasminya sudah menamatkan kontrak ketua jurulatihnya, Risto Vidakovic selepas hanya empat perlawanan mengendalikan kelab.

Menurut laporan, pengendali yang berasal dari Bosnia itu dipecat selepas persembahan longlai pasukannya dalam liga musim ini, selepas hanya memungut satu mata dari empat perlawanan.

Ini bermakna, jurulatih berusia 53 tahun itu menjadi pengendali pertama yang dipecat musim ini.

Penyokong pastinya akan meletakkan harapan tinggi di bahu ketua jurulatih baharu yang diharap mampu mencipta kebangkitan bagi mengelakkan pasukan terus berada di zon penyingkiran.

Terdapat beberapa calon dilihat sesuai bagi menggantikan jurulatih itu.

Malaysian coach, Tan Cheng Hoe at the press conference on pre match Malaysia vs Bhutan at Wisma FAM in Kelana Jaya. AZMAN GHANI/ The Star.

1. Tan Cheng Hoe

Selepas meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 3 Januari lalu, Cheng Hoe masih belum melibatkan diri secara rasmi dalam bola sepak.

Reputasi tingginya ketika membimbing Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan corak permainan cantik pastinya membuatkan para peminat Melaka United teruja jika beliau dilantik.

Di bawah bimbingan Cheng Hoe, KDA FC berjaya meraih tiga trofi iaitu Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

2. Zainal Abidin Hassan

Meskipun membawa Melaka United ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, jodoh Zainal Abidin bersama skuad Hang Tuah itu tidak kekal lama apabila khidmatnya digantikan oleh Risto Vidakovic sebelum musim bermula.

Beliau sebelum ini dikhabarkan antara nama yang dipertimbangkan sebagai pembantu kepada Pan-gon.

Jika dilantik sebagai ketua jurulatih, beliau dapat meneruskan kembali rentak cemerlang yang dipamerkan bersama skuad Hang Tuah pada hujung tahun lalu.

Pahang coach Dollah Salleh in the training session with his players before their FA Cup final match against Selangor at the Bukit Jalil National Stadium yesterday. IZZRAFIQ ALIAS/ The Star. July 6,2018.

3. Dollah Salleh

Dollah ketika ini menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan Sri Pahang FC selepas tugasnya sebagai ketua jurulatih digantikan pengendali Perancis, Christophe Gamel awal tahun ini.

Tahun lalu, Dollah pernah menggantikan bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC, Thomas Dooley yang 'direhatkan' selepas hanya dua perlawanan, dan membimbing Tok Gajah hingga ke akhir musim.

Tidak mustahil Dollah sekali lagi akan diberi tanggungjawab untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih lain musim ini.

National coach. K. Rajagopal raises his hands to celebrate the success after the Malaysian team defeated Indonesia 3-0 in the AFF Suzuki Cup 2010 final first leg match at the Bukit Jalil Stadium, December 26, 2010. GLENN GUAN/The Star

4. Datuk K Rajagopal

Nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat tempatan, Datuk K Rajagopal merupakan satu-satunya individu yang pernah menghadiahkan kejuaraan Piala AFF Suzuki kepada negara apabila memenanginya pada edisi 2010.

Beliau sebelum ini merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei sejak Disember 2020, namun tidak pernah mengendalikan sebarang perlawanan antarabangsa disebabkan Covid-19, sebelum meninggalkan pasukan itu awal tahun ini.

Kelab terakhir yang dikendalikan beliau adalah PKNS FC pada tahun 2017 hingga 2019.

Melaka United bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur pada Sabtu bagi aksi Liga Super menentang Sri Pahang dengan penolong ketua jurulatih, Asri Niggal difahamkan bakal mengendalikan pasukan untuk sementara waktu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram