Berdepan Kelantan United, TFC II elak kesilapan mudah


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Pemain TFC II menanam misi memburu tiga mata menentang Kelantan United pada Sabtu. — Facebook TFC II

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC II), Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya supaya mengambil iktibar daripada kesilapan mudah yang dilakukan Ahad lepas sehingga mengakibatkan mereka tewas kepada PDRM FC.

Dalam aksi Liga Premier di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, TFC ll berputih mata dan pulang dengan tangan kosong selepas tumpas 1-2 di tangan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu.

Badrul Afzan, justeru, menggesa anak buahnya supaya kembali bermain dengan baik dan mengembalikan momentum kemenangan ketika bertemu Kelantan United, di laman sendiri pada Sabtu.

"Banyak kesilapan individu dan kecil yang tidak sepatutnya dilakukan pemain hingga menyebabkan kita tewas di tangan PDRM.

"Untuk pertembungan dengan Kelantan nanti, saya mahu pemain fokus, kurangkan rasa terlalu yakin dan elakkan kesilapan kecil bagi mengelak kita terus dihukum dengan kekalahan," katanya ketika ditemui sewaktu sesi latihan pada Khamis.



Mintah (kiri) jadi sandaran TFC II pada Sabtu. — Facebook TFC II

Sementara itu, Kapten TFC ll, Jordan Mintah berkata, beliau berjanji akan turun dengan corak permainan yang lebih tersusun dan meyakinkan bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad Penyu pada Sabtu.

Beliau berkata, semua rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menerima kunjungan Kelantan United yang ketika ini menduduki tangga teratas Liga Premier.

"Kami telah belajar daripada kesilapan minggu lepas dan pastinya kami tidak mahu kalah lagi.

"Kami mengakui bahawa Kelantan bukanlah pasukan yang mudah, tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk memenangi perlawanan demi pasukan dan penyokong,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram