'Banyak kelab main langgar saja, lain kali kalau tak ada duit tarik diri saja awal musim'


  • Podium
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Perak FC antara kelab yang berdepan dengan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan. — Perak FC

PENGURUSAN kelab bola sepak di negara ini dinasihatkan supaya mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat keputusan untuk bertanding dalam liga.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, kegagalan pihak pengurusan yang tidak mempunyai perancangan rapi menyebabkan masalah tunggakan gaji terus berterusan.

"Sepatutnya pihak pengurusan kena pastikan dahulu sama ada mereka ada duit untuk bertanding musim itu sebelum membuat perancangan, bukan rancang dahulu baru cari duit.

"Banyak pasukan di negara ini yang main langgar saja, beli pemain sana sini kononnya duit tajaan atau pelabur akan masuk kemudian... bila liga sudah bermula tiba-tiba duit tak masuk, sebab itu masalah tunggakan gaji berleluasa.

"Sebelum liga bermula, jika anda rasa pasukan anda tidak mampu bertahan untuk satu musim, beritahu kepada MFL (Malaysian Football League) untuk tarik diri awal-awal. Biarlah jika disuruh main Liga M3 pada musim seterusnya, bangkit semula perlahan-lahan," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu tunggakan gaji dan masalah kewangan yang dihadapi banyak kelab Liga Malaysia ketika ini.

Jamal berkata, sejak beralih kepada liga profesional lebih 20 tahun lalu, isu tunggakan gaji tidak pernah selesai.

Tambahnya, jika perkara ini terus berlaku, adalah lebih baik sekiranya liga di negara ini kembali kepada era semi-profesional, di mana para pemain dibenarkan mempunyai pekerjaan tetap.

"Walaupun gaji semi-profesional tidak tinggi, tapi sekurang-kurangnya pemain ada sumber pendapatan tetap, tak macam hari ini banyak pasukan berdepan isu gaji.

"Para pemain ni kalau gaji dah tak dibayar sampai tiga bulan, mestilah mereka sudah tak ada semangat nak bermain. Apa guna bertanding tapi gaji tak ada?

"Pemain juga ada keluarga yang mahu ditanggung, bil yang mahu dibayar," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram