'Tolong beli Perak FC,' Penyokong petik nama sepupu TMJ


  • Podium
  • Khamis, 14 Apr 2022

Syed Saifullah (kiri) diharap dapat membeli Perak FC yang kini berdepan kemelut kewangan. — Facebook

ISU pemilikan pasukan Perak FC dan masalah tunggakan gaji terus membelenggu skuad The Bos Gaurus itu.

Sehingga hari ini, teka-teki mengenai siapa pemilik baharu Perak FC masih menjadi tanda tanya.

Buat masa ini, Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC) masih memiliki kelab itu sekali gus menolak dakwaan kononnya ia telah dijual kepada 'tuan baharu', JR Resources seperti yang tular di media sosial.

Di saat tumpuan terarah kepada bakal pemilik baharu Perak itu, ada penyokong yang masih mengharapkan golongan kerabat diraja untuk memimpin skuad Seladang itu.

Nama yang disebut-sebut tentunya YM Syed Saifullah Omar Alsagoff yang pernah mempimpin pasukan futsal wanita Perak.

saifullah

Syed Saifullah (dua kanan) bergambar bersama keluarganya. — Facebook

Seorang penyokong Perak, Shahrul Na'aim berkata, Syed Saifullah mempunyai minat yang mendalam dalam sukan bola sepak.

"Boleh minta tolong untuk beli Perak FC. Beliau mempunyai minat yang mendalam dalam sukan bola sepak.

"Anak sulung kepada Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah.

"Beliau juga adalah sepupu kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail iaitu pemilik pasukan Johor Darul Takzim," katanya menerusi satu hantaran status di Facebook Perak FC Supporters pada Khamis.

Semakan Majoriti mendapati, cadangan untuk meminta Syed Saifullah pernah diutarakan kelab peminat Perak the YOB menerusi satu hantaran status Facebook bertarikh 15 Mei 2021.

"Setuju sangat, dia pun minat sukan. Dia juga sepupu kepada TMJ sekarang dia boleh belajar dengan TMJ untuk majukan bola sepak Perak," katanya.

Ketika ini, Syed Saifullah merupakan Presiden Kesatuan Ragbi Perak. Beliau dilantik pada 25 Mac lalu bagi menerajui kesatuan itu untuk sesi 2022-2024.

Terdahulu, nasib skuad The Bos Gaurus umpama 'telur di hujung tanduk' apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain musim lalu dan musim ini yang dianggar berjumlah jutaan ringgit.

Sekiranya gagal, Perak FC berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini meskipun sebelum ini hukuman pemotongan tiga mata sudah dilaksanakan.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram