ISU mutu pengadilan Liga Super kembali dibahaskan oleh para peminat bola sepak susulan beberapa insiden membabitkan beberapa pasukan.
Satu kad merah dan dua penalti mencemari aksi antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) ketika perlawanan ketiga Liga Super pada minggu lalu.
Keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain Selangor FC, Yazan al-Arab menimbulkan tanda tanya kerana tiada unsur kekasaran dilakukan terhadap Matheus Alves.
Sri Pahang mengalami nasib paling buruk musim ini sehingga terpaksa surat aduan sebanyak dua kali dalam masa tiga hari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara kecewa dengan mutu pengadilan.
Ketika bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), beberapa percubaan Sri Pahang dinafikan oleh penjaga garisan meskipun pemain itu tidak berada dalam kedudukan 'offside'.
Selain itu, sewaktu bertemu PJ City pada Sabtu, pengadil 'merentap' peluang Sri Pahang apabila membenarkan jaringan pemain PJ City, Barathkumar pada minit ke-86 meskipun Kyril Muhymeen berada dalam kedudukan 'offside' ketika itu.
Pemain Sri Pahang, Nor Azam Azih membantah keputusan pengadil ketika pasukan itu bertemu KDA FC baru-baru ini. — Facebook Sri Pahang
Susulan insiden seumpama itu, ramai peminat mahu FAM melaksanakan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi mengelakkan perkara berulang.
Sebelum ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamburger ada menyatakan kepentingan VAR ini dan FAM perlu melabur atau menjemput pihak swasta melaksanakannya.
Ketika ditanya tentang perkara tersebut, Zamburger berkata, idea itu dilontarkan supaya tidak wujud sebarang masalah berhubung mutu pengadilan.
"Sedangkan sukan badminton turut sudah menggunakan teknologi, mengapa bola sepak Malaysia tidak melakukan perkara sama.
"Jika FAM tiada bajet, boleh bekerjasama dengan pihak swasta.
"Apa yang paling pada masa kini adalah teknologi. Pada zaman teknologi seperti sekarang, siapa cepat bertindak, dia menang.
"Kalau merasakan kos memasang VAR adalah mahal, buat secara berperingkat. Guna dalam perlawanan yang dianggap kontroversi.
Zamburger (tengah) pernah menyatakan kesudian untuk membeli VAR bagi pihak FAM. — Facebook Kelantan FC
"Sebagai contoh, FAM ada RM10 juta, keluarkan dana 10 peratus dahulu untuk memasang VAR.
"VAR ini membantu mengurangkan kontroversi, daripada sering membuat kontroversi seperti sekarang," katanya kepada Majoriti.
Selain Zamburger, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut pernah menyuarakan kepentingan pemasangan VAR dalam Liga-M.
Pada 9 April lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyuarakan keseriusan mengenai penggunaan VAR apabila mengadakan perbincangan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menghadiri sesi perbincangan itu dengan Pengarah Pengadil AFC, Shamsul Maidin.
"Dalam sesi itu, Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM diberi penerangan terperinci daripada Shamsul mengenai perkembangan semasa penggunaan sistem VAR dan pengadil profesional di liga domestik di seluruh dunia," kata FAM dalam satu kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram