Beraksi tanpa gaji, satu lagi pasukan senasib Perak FC, KL City dan MU


  • Podium
  • Rabu, 13 Apr 2022

UiTM FC belum mencatat sebarang kemenangan dan setakat ini tewas dalam ketiga-tiga perlawanan yang telah diharungi dalam Liga Premier 2022. — Facebook UiTM FC

MASALAH tunggakan gaji cukup sinonim dengan arena bola sepak negara dan semakin lama perkara itu kelihatan dinormalisasikan oleh segelintir kelab kerana saban tahun ada sahaja yang menjadi mangsa.

Antara nama besar yang terpalit dalam isu tunggakan gaji adalah pasukan Perak FC, Kuala Lumpur (KL) City, Melaka United FC dan yang terbaharu, ia dilaporkan turut menimpa pasukan bola sepak berstatus universiti iaitu UiTM FC yang hampir empat bulan tidak membayar gaji pegawai serta pemain.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemain pertahanan pasukan The Lions Troops, Faris Zabri kepada portal Harimau Malaya dan dia akui memahami dengan situasi pihak pengurusan berhubung isu berkenaan.

faris

Faris sewaktu temuramah yang dilakukan oleh portal Harimau Malaya.

Sebelum ini, media melaporkan UiTM FC menjadi pasukan terakhir mengesahkan penyertaan dalam kempen Liga Malaysia musim ini kerana kekangan bajet yang dihadapi namun dana RM3.7 juta berjaya diperolehi pada saat akhir membolehkan pasukan itu terus mengambil bahagian.

Sebagai langkah penjimatan, mereka membuat keputusan untuk tidak menggunakan khidmat pemain profesional mahupun import seperti musim-musim terdahulu dan hanya menggunakan seratus peratus tenaga pelajar Uitm.

Namun, difahamkan, bajet tersebut belum diterima berikutan pihak universiti melakukan penstrukturan semula atau sedikit perubahan.

Meskipun perkara itu belum menemui titik noktah tetapi barisan pemain masih bersemangat untuk bermain demi UiTM FC dan menurut Faris semangat itu tidak pernah berubah.

"Ya memang gaji ada tertunggak dan bulan ni masuk bulan keempat. Tapi InsyaALLAH tunggakan gaji ini UiTM akan selesai dalam masa terdekat ini.

"Saya dan rakan sepasukan, bagi kami gaji nombor dua, yang penting kami nak main bola sepak.” katanya dalam satu temuramah yang dilakukan oleh portal Harimau Malaya.

Malah, pelajar jurusan Sains Sukan di UiTM Shah Alam, Selangor itu turut mendedahkan bahawa mereka akan menandatangani kontrak sebagai staff UiTM tetapi dalam kontrak meletakkan jawatan mereka sebagai pemain.

Keputusan untuk menyerap mereka sebagai staf menyebabkan ramai kakitangan universiti itu berasa tidak adil dan mempersoal tindakan pihak pengurusan UiTM.

Untuk rekod, UiTM FC belum mencatat sebarang kemenangan dan setakat ini tewas dalam ketiga-tiga perlawanan yang telah diharungi dalam Liga Premier 2022.

Pasukan itu menghuni tangga tercorot Liga Premier 2022 tanpa sebarang mata. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram