MUTU pengadilan Liga Malaysia (Liga M) sekali lagi hangat diperkatakan selepas beberapa insiden membabitkan pengadil sepanjang perlawanan ketiga Liga Super 2022 yang berlangsung pertengahan minggu ini.
Paling menjadi tumpuan adalah perlawanan membabitkan Sri Pahang FC dan juga Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dipenuhi dengan pelbagai keputusan kontroversi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pegawai, pemain dan juga penyokong kelab.
FAM dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengakui terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan ketika perlawanan berkenaan.
Disebabkan itu, muncul kembali desakan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Malaysian Football League (MFL) untuk melaksanakan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga M.
Namun, untuk mengguna pakai teknologi itu di negara ini, beberapa faktor penting harus diambil kira bagi memastikan pelaksanaannya betul-betul menjadi.
Bukan sahaja dari sudut kos, kesediaan pasukan-pasukan bertanding juga harus dititikberatkan kerana kita tidak mahu isu lain timbul selepas pelaksanaan VAR.
Terdapat beberapa faktor utama yang mungkin menjadi penghalang bagi pelaksanaan VAR di negara ini.
Isu pemilikan stadium
Boleh dikatakan, kebanyakan pasukan di Malaysia masih tidak memiliki stadium sendiri dan kebanyakannya menyewa dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.
Agak sukar untuk memasang teknologi VAR di stadium milik PBT kerana kelab tidak boleh memberi kebenaran dan ia haruslah melalui proses berlainan.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini pernah menyuarakan perkara itu dan menegaskan bahawa isu itu rumit kerana ia melibatkan pemasangan sistem kabel serta aspek-aspek teknikal lain supaya teknologi itu dapat berfungsi dengan baik.
Stadium Shah Alam yang sebelum ini disewa pasukan Selangor FC.
Capaian internet di stadium
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram pernah membangkitkan perkara ini kerana menurutnya, capaian internet yang baik dan pantas adalah penting untuk memastikan teknologi itu berfungsi dengan lancar.
Jika capaian internet di stadium masih lemah, pelaksanaan VAR akan menjadi sia-sia kerana kelengkapan VAR, seperti skrin untuk pengadil di padang, skrin pengadil di bilik VAR dan kamera di sekitar stadium, berhubung melalui jaringan WiFi.
Kesediaan pengadil Malaysia
Walaupun VAR bertujuan untuk membantu pengadil membuat keputusan yang lebih tepat, pengadil masih perlu mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai sistem tersebut.
Untuk melaksanakannya, pengadil harus mendalami ilmu mengenai berkaitan kerana jika tidak, kontroversi sama tetap akan timbul.
Untuk rekod, pada 2018, Liga Thailand pernah menghentikan seketika penggunaan VAR kerana pegawai perlawanan masih tidak mahir dengan teknologi tersebut.
Mutu pengadilan Liga M sering kali dibangkitkan oleh peminat bola sepak tempatan.
Kos yang terpaksa ditanggung kelab
Kos untuk mengguna pakai teknologi VAR amatlah tinggi, bukan sahaja dari sudut pemasangan tetapi penyeleggaraan dan juga kos operasi ketika hari perlawanan.
Jika MFL atau FAM bertindak untuk mengguna pakai teknologi VAR di negara ini, kemungkinan terdapat beberapa kos yang mungkin dikenakan kepada kelab-kelab yang bertanding seperti kos operasi ketika hari perlawanan.
Dengan isu tunggakan gaji dan kewangan yang masih membelenggu beberapa kelab Liga M, sukar untuk melihat teknologi ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram