SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pihaknya akan meneliti hantaran InstaStory pemain KL City FC, Kenny Pallraj yang mengatakan bahawa bola sepak Malaysia masih dijajah.
Saifuddin yang kini berada di luar negara berkata, beliau akan meminta penolongnya, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman untuk berbuat demikian.
"Saya sedang berada di luar negara ketika ini, jadi saya akan minta penolong saya untuk meneliti perkara ini," katanya ringkas kepada Majoriti.
Pallraj mencetuskan kontroversi selepas perlawanan Liga Super antara KL City FC menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Rabu kerana memuatnaik satu hantaran InstaStory, difahamkan untuk mengkritik keputusan pengadil yang memberi kad merah kepadanya.
"Malaysia dah Merdeka namun bola sepak Malaysia masih dijajah," katanya.
Pemain itu dilayangkan kad merah susulan tindakannya menampar kepala Leandro Velazquez pada minit ke-57.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, JDT menang 3-0 melalui satu jaringan Fernando Forestieri dan dua gol ledakan Bergson da Silva. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram