Trucha terdesak mahu atasi kemarau 3 mata Harimau Kumbang


  • Podium
  • Sabtu, 09 Apr 2022

Casagrande sebelum ini digantung oleh FAM kerana terlibat dalam pergaduhan ketika perlawanan Piala Menteri Besar Terengganu menentang Terengganu II pada 10 Feb lalu. — Penang FC

KETUA jurulatih Penang FC, Thomas Trucha terdesak untuk meraih kemenangan pertamanya dalam Liga Super selepas permulaan hambar yang dipamerkan skuadnya

Jurulatih yang berasal dari Republik Czech itu tidak berpuas hati selepas pasukannya hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan dan tidak menyembunyikan perasaannya selepas Harimau Kumbang seri 1-1 menentang Sarawak United pada Selasa.

Sebelum perlawanan tersebut, mereka tewas pada perlawanan pembukaan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) 0-1 dan seri menentang Melaka United 1-1 selepas itu.

Di bahagian pertahanan, pasukan itu kelihatan agak mantap, terutama dengan persembahan baik yang ditonjolkan penjaga gol, Khatul Anuar Jalil yang sering menepis percubaan pihak lawan, namun bahagian serangan pasukan harus lebih tajam memanfaatkan peluang.

Trucha berkata, pasukannya tidak harus gembira dengan satu mata yang diraih setakat ini, sebaliknya hampa kerana mereka kehilangan dua mata ketika perlawanan di Stadium Sarawak.

“Kami datang untuk tiga mata, tetapi tidak berjaya. Pada separuh masa pertama, kami tidak memanfaatkan peluang kami, dan kami dihukum. Saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Pada separuh masa kedua, prestasi kami menurun sedikit, kami tidak menahan bola dengan baik, dan melepaskan penguasaan bola.

“Sementara Sarawak memanfaatkan separuh peluang mereka dengan baik, kami kalah kerana kesilapan kami sendiri,” kata Trucha.

Trucha berharap, anak-anak buahnya dapat menamatkan kemarau kemenangan pada Sabtu apabila anak buahnya turun menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Bandaraya, George Town.

Beliau berkata, kepulangan semula penyerang, Casagrande yang menjaringkan gol menentang Sarawak dan pemain tengah, Endrick Santos pastinya menggembirakan skuad itu.

Kedua-dua pemain itu kembali selepas digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana terlibat dalam pergaduhan ketika perlawanan Piala Menteri Besar Terengganu menentang Terengganu II pada 10 Feb lalu.

Trucha percaya bahawa persefahaman dalam pasukan akan menjadi lebih baik dalam beberapa minggu akan datang.

“Ada ruang untuk penambahbaikan. Sebagai jurulatih, saya tahu pasukan boleh bermain dengan lebih baik. Dalam dua perlawanan pertama musim ini, kami tidak mempunyai Casa dan Endrick.

“Sekarang mereka kembali, pasukan kami akan menjadi lebih baik. Itulah harapan untuk perlawanan menentang Negeri,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram