Esok-esok mati, tak sempat taubat — Penyokong MU


  • Podium
  • Jumaat, 08 Apr 2022

MU tumpas 0-1 kepada Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, pada 5 April lalu. — Facebook

KELAB peminat bola sepak Melaka United (MU) meminta barisan pemain skuad Hang Tuah itu tidak mencampurkan urusan kelewatan pembayaran gaji dengan mutu permainan.

Permintaan itu susulan aksi hambar yang dipamerkan MU dalam saingan Liga Super musim ini kerana pemain dilihat beraksi tanpa motivasi ekoran hampir tiga bulan tidak menerima gaji.

Kelab itu, MU Fans menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi Jumaat memohon agar pemain-pemain skuad itu mempertingkatkan prestasi di sebalik isu tunggakan gaji yang sedang membelenggu mereka.

"Come on players! Kami tahu apabila anda di bawah satu pengurusan Yahudi yang hanya tahu isi perut sendiri.

"Tapi tolong kami para pemain semua, kami tak mahu kecewa lagi. Kami meletakkan kepercayaan kepada pengurusan MUFC.

"Untuk MUSA (Persatuan Bola Sepak Melaka United), tunaikan tanggungjawab anda. Bulan puasa ni, takkan makan duit haram. Esok-esok mati tak sempat taubat.

"Jika anda masih berdegil, tak mengapa. Kami doakan anda akan susah sepanjang hidup kerana menganiaya pemain," katanya.

Selain pemain, pihak pengurusan juga menerima nasib sama apabila turut tidak mendapat gaji hingga kini.

Pengendali skuad Sang Kancil, Risto Vidakovic berkata, barisan pemain kini tidak ada motivasi untuk beraksi, begitu juga sewaktu menjalani latihan kerana masalah dalaman yang masih belum diselesaikan.

Katanya, kebanyakan pemain lebih banyak bercakap berkenaan isu gaji daripada berbincang mengenai prestasi pasukan sewaktu turun menjalani latihan.

Tangkap layar hantaran status MU Fans. — Facebook

Pada Khamis, Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, isu gaji tertunggak itu di bawah tanggungjawab MU sepenuhnya selepas ia diswastakan dan bukan lagi menjadi tanggungjawab negeri atau MUSA.

Jelas Sulaiman, beliau telah berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif MU, Datuk Seri Justin Lim memintanya supaya menyegerakan pembayaran memandangkan kelab berkenaan membawa nama Melaka.

“Saya telah berjumpa Datuk Seri Justin dan maklumkan pembayaran gaji itu perlu dibuat dari masa ke masa," katanya.

Dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Hang Jebat pada 5 April lalu, MU kalah 0-1 kepada Sabah.

Itu bermakna, Melaka masih gagal melakar sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan musim ini, termasuk seri 1-1 dengan Penang FC (8 Mac) dan kalah 1-0 kepada Petaling Jaya City (PJ City) dalam perlawanan pembukaan, 5 Mac lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram