Ini sebabnya pemain Kedah pegang jersi Dennis


  • Podium
  • Khamis, 07 Apr 2022

Pemain Kedah memberi penghormatan kepada Dennis dengan memegang jersi pemain itu sebelum perlawanan menentang Sri Pahang FC. — Facebook

AKSI pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC memegang jersi Dennis Buschening sebelum perlawanan menentang Sri Pahang FC pada malam Rabu mencetuskan tanda tanya penyokong Hijau Kuning.

Lebih berteka-teki lagi, nama tonggak penyerang Sang Kenari itu tidak disenarai dalam perlawanan Liga Super itu.

Dalam aksi tersebut, Kedah menang tipis 1-0, sekali gus mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut untuk berkongsi sembilan mata bersama JDT dengan dipisahkan perbezaan gol.

Namun ketiadaan Dennis dalam aksi getir itu mencetuskan pelbagai spekulasi tentang status pemain kelahiran Jerman itu.

Ada penyokong menaikkan satu hantaran yang ditulis Dennis di Facebook pada 20 Mac lalu yang menyatakan dia menyahaktif laman Instagram atas sebab mahu fokus kepada keluarga dan kerjayanya.

"Jika anda tanya tentang Instagram saya, saya telah menyahaktifnya.

"Kadang kala akan tulis di sini (Facebook), tetapi keutamaan saya adalah keluarga dan kerjaya.

"Jadi saya tidak akan luang masa yang banyak di media sosial. Kekal selamat," tulisnya.

Dennis Status

Status yang dimuatnaik Dennis pada 20 Mac lalu.

Namun persoalan itu terjawab apabila ada penyokong mengatakan Dennis kini mengalami kecederaan tendon dan akan menjalani pembedahan pada Jumaat ini.

Malah Dennis turut memuatnaik gambar pemain Kedah memegang jersinya selepas perlawanan tamat dan menerima titipan doa daripada peminat.

"Semoga cepat sembuh, Dennis," antara komen yang membanjiri status pemain itu.

Majoriti sudah menghubungi Dennis untuk maklum balas dan isterinya mengesahkan bahawa suaminya kini mengalami kecederaan dan akan menjalani pembedahan.

"Dennis mengalami koyak bahagian tendon dan perlukan pembedahan.

"Dia akan kembali lebih kuat," katanya ringkas kepada Majoriti.

Sebagai rekod, selepas berkelana di dua kelab liga tempatan, Sabah FC dan UiTM FC, Dennis akhirnya memilih Kedah pada musim ini sebagai destinasi terbaharunya untuk terus bersaing dalam liga tempatan.

Dengan usia yang mencecah 30 tahun, pemain penyerang yang memiliki kerakyatan Thailand dilihat mampu menajamkan bahagian serangan skuad Kenari yang kehilangan khidmat dua pemain penyerang, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang berhijrah ke Terengganu FC.

Dalam perlawanan pramusim, Dennis meledakkan tiga gol termasuk ketika menang 2-1 ke atas PDRM FC baru-baru ini.

Tetapi kecederaan yang dialaminya itu ternyata sedikit sebanyak mengganggu percaturan ketua jurulatih, Aidil Sharin untuk memantapkan bahagian serangannya yang kini dikemudi antaranya pemain pinjaman JDT, Syafiq Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram