KRISIS membabitkan Perak FC kian rumit dengan pelbagai masalah membelenggu pasukan berkenaan.
Isu tunggakan gaji membabitkan pemain serta kakitangan pasukan dan kemelut pengambilalihan pemilik baharu mengeruhkan lagi situasi sedia ada.
Perak FC yang suatu ketika dahulu gah mewarnai arena bola sepak tempatan, kini hanya menunggu masa untuk 'rebah ke bumi'.
Menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, agak malang apabila kerajaan negeri Perak dan pelbagai pihak di negeri berkenaan enggan menghulurkan bantuan kepada pasukan tersebut.
"Bertambah sedihnya, mereka menegaskan lebih baik duit berjuta-juta itu 'deme' bantu golongan B40, asnaf dan sebagainya.
"Mereka menegaskan membazir sahaja duit itu diberi kepada bola sepak atau sukan lain. Tiada pulangan langsung.
"Belanja hangus, tak dapat untung, tak dapat pahala, tak ada saham akhirat.
"Betullah apa mereka kata, saya sokong sangat bab membuat perbandingan dan justifikasi seumpama itu.
"Umpama nak buat apa bagi duit dekat Perak FC sebanyak berjuta-juta ringgit untuk bayar hutang, duit itu boleh bina banyak 'hospital' dan 'masjid'.
"Bab membandingkan peruntukan kewangan kepada hal kebajikan rakyat di dunia dengan ganjaran di akhirat, memang sudah pasti rakyat 'marhaen' akan sokong 100 peratus dan logik akal.
PERAK FC seolah-olah diabaikan oleh kerajaan negeri berkenaan walaupun dibelenggnu pelbagai krisis. — Facebook/Perak FC
"Entahlah, agaknya 'deme' semua gembira apabila negeri 'deme' dipenuhi dengan 'hospital' merata-rata, sana-sini.
"Begitu juga dengan masjid melacak sana sini, golongan asnaf dan B40 yang begitu ramai sekali dibantu sepanjang masa hingga ada yang kekal dengan 'status quo', malah tidak berhasrat untuk mengubah kehidupannya.
"Persoalannya, apakah itu jawapan yang paling tepat dan adil kepada bantuan diharapkan dalam konteks untuk menyumbang kepada kemajuan sukan, apatah lagi sukan berkenaan berdepan masalah serta mengharapkan bantuan.
"Ingatlah, sukan juga salah satu cabang kehidupan sama seperti politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya.
"Sukan juga perlu dilayan sama seperti sektor lain. Jangan sampai sebab dek bola, ada yang bunuh diri yob!," katanya kepada Majoriti.
Tambah Pekan, isu hutang Perak FC akan berpanjangan sehingga berlaku tindakan saman-menyaman walaupun sekiranya pasukan berkenaan terjual kelak.
"Sudah pasti prosesnya akan mengambil masa yang panjang dan bahkan juga, hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menanti Perak FC musim depan.
"Soal siapa saman siapa, kita tunggu dan lihat nanti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram