Nafi 'reject' pemilik baharu Perak FC, IMC dedah perkara sebenar


  • Podium
  • Khamis, 31 Mac 2022

MASA depan skuad Perak FC masih samar-samar apabila kata putus mengenai pemilik baharu kelab masih belum dimuktamadkan. — Facebook/Perak FC

PEMILIK Perak FC, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd menafikan pihaknya menolak untuk berjumpa dengan individu yang berminat untuk membeli kelab itu seperti yang kecoh di media sosial ketika ini.

Pengarah, Perkongsian dan Jualan Penajaannya, Muhammad Yunus Zakariah berkata, sebaliknya pihaknya memerlukan pihak pembeli untuk menyerahkan dokumen 'proof of funds' terlebih dahulu sebelum apa-apa rundingan terperinci boleh diteruskan.

"Kami tiada masalah nak jumpa, tapi yang paling mustahak dalam proses jual beli ni adalah 'proof of funds'. Perbincangan terperinci berkenaan terma dan sebagainya boleh dilakukan setelah dokumen yang menunjukkan kekuatan kewangan pihak pembeli diberikan. Sebenarnya, kami sudahpun respon surat tawaran mereka secara positif, dan bersetuju dengan terma-terma yang disarankan.

"Memang kami dah sebutkan secara spesifik dalam surat tersebut bahawa mereka perlu serahkan kepada kami 'proof of funds'. Namun, setiap kali kami bangkitkan perkara itu, mereka tak endahkan. Pada hemah kami, mungkin pihak pembeli dalam proses menyediakan dokumen tersebut.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC berkata, anak guam pihak pembeli menyatakan hasratnya untuk membeli Perak dengan menggunakan sebuah syarikat tempatan.

Jelasnya, pihaknya memerlukan 'proof of funds' kerana tidak mengenali pihak pembeli tersebut and mendapati syarikat yang ingin digunakan sebagai 'special purpose vehicle' (SPV) adalah sebuah syarikat kecil dan masih baharu.

"Apabila kami buat semakan melalui SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), kami dapati ia merupakan syarikat kecil dan baharu di mana perniagaannya adalah perniagaan yang tiada kena mengena dengan sukan" jelasnya.

Bagaimanapun, Muhammad Yunus berkata, pihaknya tidak menolak serta-merta hasrat pembeli itu, tetapi menegaskan mereka hanya perlu menunjukkan dokumen 'proof of funds' yang turut diminta oleh pihak Malaysian Football League (MFL).

Katanya, beliau harus memastikan pemilik baharu Perak FC mempunyai kekuatan kewangan untuk menyelesaikan hutang-hutang kelab, dan juga gaji para pemain dan kakitangan sepanjang musim.

"Objektif sekarang adalah untuk pastikan yang Perak FC dijual, atau dapat penaja atau pelabur baharu agar hutang dan semua kakitangan, pemain dan pegawai dalam kelab ini dibayar gaji mereka.

"Bukan pampasan, bukan nilai saham yang kami pentingkan, tetapi sama ada pihak pembeli mempunyai kekuatan kewangan untuk membayar segala liabiliti Perak FC," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus berkata, beliau dimaklumkan bahawa pihak tersebut sudahpun pergi berjumpa dengan MFL, namun tidak pasti akan tujuan pertemuan itu.

"Saya pun tak tahu apa tujuan pihak pembeli pergi jumpa MFL, namun saya pasti pihak MFL juga ada meminta mereka untuk menyerahkan 'proof of funds' kepada kami," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram