Tolak ke Liga Jepun, Ott dedah sebab pilih Liga M


  • Podium
  • Ahad, 06 Mac 2022

OTT (kiri) merupakan antara tunjang utama TFC musim 2022. — Facebook TFC

PEMAIN kebangsaan Filipina, Manuel Ott merupakan salah seorang pemain import baharu Terengganu FC (TFC) pada musim 2022.

Dia dibawa masuk menggantikan Dechi Marcel yang berhijrah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Musim 2021, Ott beraksi bersama Melaka United dan membuat 22 penampilan liga serta menjaringkan dua gol dan merekodkan satu bantuan hantaran.

Pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu berkongsi faktor memilih untuk berhijrah ke Malaysia meskipun dia sebelum ini mempunyai peluang beraksi di Liga Juara-Juara Asia bersama kelab Filipina, United City.

"Saya suka beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia. Perkara yang menentukan keputusan saya adalah situasi Covid-19.

"Liga Filipina akan berlangsung, persoalannya di mana dan bila.

"Selepas itu, saya menerima tawaran bermain di Malaysia, di mana saya sepatutnya berpindah sebelum ini.

"Saya juga gembira di Malaysia. Ia sesuatu yang sedikit sukar kerana kami mempunyai perlawanan setiap tiga hari," katanya dalam satu temubual bersama portal sukan antarabangsa pada 2021.

Ott turut mendedahkan pernah mendapat tawaran bermain di Jepun namun menolak peluang itu kerana mahu bermain di Filipina.

"Hanya waktu akan menentukan sama ada saya akan mendapat peluang untuk bermain di liga Jepun.

"Saya masih mahu bermain di Jepun. Buat masa ini, saya gembira di Malaysia.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Jerman suatu hari nanti," ujarnya.

Ott memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan kedua FC Ingolstadt yang beraksi di liga Jerman.

Dia kemudiannya berhijrah ke United City dan memenangi empat kejuaraan liga Filipina bersama kelab berkenaan.

Pada 2019, Ott menyertai kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol namun hanya beraksi selama semusim.

Tahun seterusnya, pemain berusia 30 tahun itu menyertai semula United City sebelum memilih untuk bermain bersama Melaka United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram