JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali mahu kemenangan pertama yang dilakar ke atas Perak FC pada saingan Liga Premier malam tadi menjadi pembakar semangat anak buahnya.
Malah menurut beliau, momentum tersebut perlu diteruskan di perlawanan akan datang bagi mengukuhkan kedudukan The Turtles dalam Liga Premier musim ini.
"Syukur kerana kami dapat memulakan kempen Liga Premier musim ini dengan langkah kanan. Itu pun selepas dua kali perlawanan terpaksa ditunda disebabkan Covid-19.
"Nampaknya semua perancangan kita pada malam ini menjadi. Saya anggap kejayaan ini sebagai moral untuk pemain meneruskan momentum kemenangan pada aksi seterusnya," katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.
Pada perlawanan tersebut, TFC ll berjaya menewaskan Perak FC 3-0 hasil jaringan Petrus Shitembi, Jordan Mintah dan Muhammad Syafik Ismail.
Badrul berkata, pujian juga harus diberikan kepada Shitembi yang mempamerkan aksi cemerlang selepas setahun berehat akibat kecederaan 'anterior cruciate ligament' (ACL).
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, beliau akur dengan kekalahan tersebut yang dijangka dari awal.
Bagaimanapun beliau memuji semangat juang anak buahnya yang tetap memberikan saingan dan bertahan sehingga ke minit-minit terakhir.
"Hari ini (Jumaat), kami datang hanya dengan 15 pemain dan tiga daripadanya adalah penjaga gol. Saya bukan mahu mencari alasan atas kekalahan kami, tetapi saya fikir semua orang tahu krisis dan masalah yang dialami pasukan kami.
"Jadi saya harap peminat dapat memahami dan menilai dengan adil pemain kerana mereka terpaksa beraksi tanpa kekuatan yang sepatutnya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram