Bersaing dengan Habib Haroon, ini respons Petrus Shitembi


  • Podium
  • Sabtu, 02 Apr 2022

HABIB Haroon (kanan) kini beraksi bersama TFC manakala Petrus Shitembi bersama TFC II. — Facebook

SELEPAS mengalami kecederaan ACL pada tahun lalu, Petrus Shitembi telah dibawa masuk sebagai pemain tengah Terengganu FC II, manakala pemain di posisi sama, Habib Haroon dipilih untuk beraksi bersama TFC.

Sedar dengan perkara tersebut, Shitembi berkata, walaupun berlaku persaingan sengit untuk merebut posisi tersebut bersama Haroon, dia percaya yang jurulatih TFC II, sudah memiliki percaturan tersendiri.

"Saya tidak mahu memikirkan soal persaingan dan peluang untuk bermain dengan TFC II. Apa yang penting ialah untuk saya fokus kepada setiap minit permainan selain mahu bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya pula tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu (persaingan) sebab sasaran saya adalah untuk bermain apatah lagi sudah lama tidak beraksi.

"Jadi, tiada yang lebih daripada itu dalam fikiran saya sekarang kecuali hanya ingin mendapatkan kecergasan balik dan bantu pasukan tidak kira di pasukan utama atau TFC II," katanya.

Dalam pada itu, Shitembi yang berasal dari Namibia itu menyifatkan gol pertama yang dijaringkan pada Jumaat lalu dalam aksi Liga Premier menyuntik kembali semangatnya untuk memulakan musim 2022 dengan lebih cemerlang

"Pertama sekali, saya rasa sangat gembira apabila dapat kembali bersama pasukan cuma masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dan perlu fokus perlawanan demi perlawanan.

“Yang penting, sudah tentu saya rasa teruja apabila dapat mulakan saingan dengan jaringan gol dan ini pula merupakan sentuhan pertama saya atas padang apabila musim lepas tidak berpeluang untuk beraksi.

“Tetapi, saya sentiasa katakan kepada diri saya bahawa perjalanan masih lagi jauh tetapi saya cuba untuk beransur-ansur mendapatkan balik kecergasan yang lebih baik.

“Rasa bersyukur apabila dikelilingi dengan orang yang sentiasa menyokong saya dan memahami situasi yang pernah saya hadapi sebelum ini selain menerima saya untuk kembali ke dalam pasukan," jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram