Pernah merantai Mbappe dan Lewandowski, ini janji tonggak harapan Kedah lepas baik 'injured'


  • Podium
  • Ahad, 27 Mac 2022

MARC Vales (kiri) masih belum membuat debut utama bersama Kedah angkara kecederaan di sebalik reputasi tinggi merantai penyerang berkelas dunia seperti Mbappe. — Agensi

TERPAKSA sekadar memerhatikan rakan-rakan sepasukan berjuang bermati-matian di tepi padang gara-gara kecederaan pastinya mengguris hati mana-mana pemain, bintang import baharu Kedah Darul Aman (KDA FC), Marc Vales Gonzalez juga pastinya tidak terkecuali.

Di sebalik kejayaan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak melakar tiga kemenangan berturut-turut dalam aksi domestik yakni dua kemenangan Liga Super ke atas Sarawak United dan KL City serta menewaskan KSR Sains dalam aksi Piala FA pada permulaan musim 2022, kapten skuad antarabangsa Andorra itu dilihat masih belum membuat debut pertama Sang Kenari kerana tersisih gara-gara kecederaan yang dialaminya pada aksi pramusim.

Tidak hairanlah, ramai peminat fanatik skuad Hijau Kuning dikatakan cukup ternanti-nantikan aksi sulung Marc Vales bersama Kedah, terutamanya dengan reputasi tinggi yang dimiliki beliau apabila dilaporkan pernah merantai pergerakan beberapa penyerang berkelas dunia seperti Kylian Mbappe dan Robert Lewandowski sebelum ini.

Pada masa sama, kisah lucu Marc Vales yang pernah membuat 'kerja gila' apabila meminta seluar tonggak England, Kieran Trippier sebagai pertukaran 'suka sama suka' gara-gara Trippier kehabisan jersi pada aksi kelayakan Piala Dunia tahun lalu juga masih diingati segelintir peminat bola sepak.

Menyedari harapan setinggi gunung peminat The Red Eagles, tonggak pertahanan berusia 32 tahun yang disebut-sebut paling layak menggalas lilitan kapten baharu gergasi utara tanah air itu kini tampil menjanjikan sesuatu buat peminat kelab gergasi utara tanah air itu sebaik pulih daripada kecederaan kelak.

marc2

MARC Vales dijangka kembali memperkuatkan Kedah ketika melayan kunjungan Sri Pahang dalam aksi Liga Super pada 6 April. — Facebook/KDA FC

"Saya sudah mula merasai bahang sokongan yang cukup mengujakan daripada peminat Kedah.

"Sudah tentu kecederaan ini sesuatu yang menyedihkan dan terima kasih dengan mesej-mesej peminat yang mendoakan saya (untuk kembali pulih).

"Saya akan kembali dengan jauh lebih kuat dan bertenaga selepas ini," tulisnya di Instagram.

Pada masa sama, Marc juga membayangkan kecederaannya kini semakin pulih, sekali gus menggembirakan peminat Kedah yang tidak sabar-sabar menyaksikan aksi pertamanya menyarung jersi Sang Kenari selepas ini.

"Sentiasa percaya dengan proses (pemulihan)," tulisnya lagi.

Selepas ini, Kedah akan melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebaik saingan Liga Super bersambung semula pada 6 April selepas rehat aksi persahabatan antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram