Di sebalik peminat Kedah-JDT 'bertikam lidah', Akhyar Rashid tenang banggakan Eyka Farhana


  • Podium
  • Khamis, 24 Mac 2022

HUBUNGAN istimewa kedua-dua figura ini bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat. — Instagram/Eyka Farhana

KEHEBATAN pemain sayap sensasi, Muhammad Akhyar Rashid mencetak kedua-dua gol cantik semasa membantu Harimau Malaya membenam cabaran Filipina 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura, pada malam Rabu bukan saja mencuri perhatian umum, malah seakan-akan menyalakan semula 'api permusuhan' antara penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Takzim.

Bukan apa, umum mengetahui 'luka lama' segelintir peminat Sang Kenari yang masih belum dapat melupakan penghijrahan Akhyar yang dikenali sebagai Mat Yat ke JDT pada penghujung musim 2018.

Tidak hairanlah, ada peminat fanatik Kedah yang mengecam prestasi hambar Akhyar setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya sejak berhijrah ke selatan tanah air gara-gara 'luka lama yang masih berdarah'.

Disebabkan itu, ada dalam kalangan peminat JDT dilihat kembali 'mengusik nakal' peminat Kedah menerusi beberapa 'troll' yang tular di laman sosial sejak malam Rabu sebaik Akhyar berjaya menemui semula prestasi sebenar di pentas antarabangsa apabila menjaringkan kedua-dua gol bertaraf dunia itu.

akhyar1.jpg

ANTARA 'meme' yang dijadikan 'troll' dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di laman sosial.

"Bila Malaysia kalah, Mat Yat pemain JDT. Tapi bila Malaysia menang Mat Yat anak jati Kedah," demikian antara 'meme' yang tular di laman sosial.

'Troll' itu begitupun dibalas semula oleh majoriti peminat Kedah yang menyifatkan masih terlalu awal untuk menilai prestasi keseluruhan Harimau Malaya termasuk Akhyar.

"Baru satu game, relaks laa... Nanti tengok kelayakan Piala Asia baru ada akaii," komen salah seorang peminat Kedah.

Cuma di sebalik 'pertikaman lidah' antara peminat Kedah-JDT, Akhyar dilihat tidak terjejas dengan sentimen luar padang sedemikian.

Sebaliknya, Akhyar tenang melayan peminat yang kekal utuh menyokong kariernya sebagai pemain bola sepak termasuk artis terkenal, Eyka Farhana.

Pada masa sama, Eyka tanpa berselindung turut berkongsi perasaan bangga sebaik Akhyar menjaringkan kedua-dua gol ketika bertemu Filipina malam Rabu.

"Tahniah.. Cukup berbangga dengan awak @akhyarrashid," tulis Eyka di InstaStory yang dimuat naik semula (repost) Akhyar di Instagram pada Khamis.

akhyar2.jpg

INSTASTORY Eyka yang dimuat naik semula Akhyar di Instagram.

Untuk rekod, hubungan istimewa kedua-dua figura itu bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat apabila pernah meraikan sambutan hari jadi bersama-sama sekitar dua tahun lepas, namun kedua-duanya tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Malah, ucapan Eyka mendoakan Akhyar kembali sembuh selepas dijangkiti Covid-19 pada penghujung tahun lepas juga menguatkan lagi spekulasi betapa kedua-dua figura itu masih hangat bercinta sehingga hari ini.

"Korang fans (Kedah dan JDT) sakan bergaduh.. Depa (Akhyar dan Eyka) elok je molek berdua.. Depa dah lama rancang, fans je yang lalai," tulis seorang lagi netizen.

Selepas aksi berdepan Filipina, Akhyar dijangka sekali lagi menjadi taruhan pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam satu lagi aksi persahabatan berkelas antarabangsa berdepan Singapura di venue yang sama pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram