KEMUNCULAN semula pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim dalam skuad kebangsaan kali ini menunjukkan perbezaan ketara di bahagian tengah Harimau Malaya, kata jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah.
Beliau menyifatkan, kehadiran Safiq memperlihatkan kehilangan seorang 'jeneral' di bahagian tengah skuad kebangsaan selama ini dan perkara itu jelas kelihatan ketika Piala AFF Suzuki Disember lalu.
"Kita tak dapat nafikan Safiq masih berbisa, cara dia kawal bahagian tengah hampir tiada cacat cela. Bahkan dia bermain dengan lebih baik daripada sesetengah pemain lain walaupun sudah berusia 35 tahun.
"Bagi saya faktor umurnya tidak menjadi masalah. Sebagai seorang profesional, dia sentiasa kekalkan tahap kecergasan yang tinggi dan kita dapat lihat perkara itu ketika dia diturunkan," katanya kepada Majoriti.
Azraai juga yakin Safiq masih boleh berada dalam pasukan kebangsaan untuk beberapa tahun lagi berdasarkan persembahannya dan pengalaman yang dimiliki.
Tambahnya, sukar untuk mencari pengganti Safiq buat masa ini, namun beliau melihat rakan sepasukan Safiq di JDT, Nazmi Faiz Mansor sebagai individu yang boleh menggalas tugas tersebut.
"Ia akan mengambil masa (untuk mencari pengganti Safiq), tapi kita boleh nampak 'bunga-bunga' dalam pasukan JDT dengan kemunculan Nazmi Faiz.
"Berdasarkan persembahannya musim ini, kita boleh lihat sentuhannya dalam setiap perlawanan, dia bukan saja boleh kawal bahagian tengah tetapi boleh datang dari belakang dan jaringkan gol," katanya.
Tambah Azraai, skuad kali ini dibarisi ramai pemain muda berbakat yang boleh diharap untuk membawa kejayaan kepada Harimau Malaya seperti Arif Aiman, Akhyar Rashid dan juga Syafiq Ahmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram