Permintaan Dion, Akhyar buat Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Jumaat, 25 Mac 2022

SYAFIQ ketika beraksi menentang Filipina pada Rabu.

HARIMAU Malaya mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Kim Pan-Gon pada rabu apabila menumpaskan Filipina 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura.

Kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh pemain sayap Johor Darul Takzim, Akhyar Rashid pada minit ketiga dan ke-25.

Bagi gol pertama, Akhyar menerima hantaran pintar dari bek kiri, La’Vere Corbin Ong dan beliau menggelecek pertahanan Filipina, Erick Linares sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Neil Etheridge.

Gol keduanya hadir selepas serangan balas pantas yang dimulakan oleh pemain tengah veteran, Safiq Rahim, yang melakukan hantaran dari kawasan pertahanan kepada Syafiq Ahmad.

Syafiq kemudian menghantar bola kepada Akhyar, yang meledak masuk melepasi pertahanan dan penjaga gol Filipina.

Susulan itu, Akhyar mempunyai satu permintaan buat Syafiq pada perlawanan seterusnya menentang Singapura pada Sabtu.

Akhyar dalam satu komen di Instagram Syafiq berharap penyerang Kedah Darul Aman FC itu akan memberinya bantuan gol lagi pada perlawanan seterusnya.

"Nak assist lagi next game," katanya.

WhatsApp Image 2022-03-25 at 10.23.01

Komen Akhyar di Instagram Syafiq.

Sementara itu, pertahanan yang beraksi di Belgium, Dion Cools turut mempunyai 'amanat' buat Syafiq.

Ketika perlawanan menentang Filipina, Cools melakukan satu hantaran kepada Syafiq yang berjaya mengatasi pertahanan Filipina sebelum merembat melepasi penjaga gol, namun bola terkena tiang sekali gus menafikan peluang Cools untuk mencatat nama sebagai pemain yang melorongkan bantuan gol.

Cools dalam satu hantaran Instastory berharap Syafiq dapat menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya.

Syafiq kemudian memberi jaminan bahawa beliau tidak akan mensia-siakan lagi peluang seperti itu selepas ini.

"Saya akan (jaringkan gol)," balasnya kepada Cools.

WhatsApp Image 2022-03-25 at 10.23.03

'Amanat' Cools kepada Syafiq di Instastory.

Malaysia bakal berdepan Singapura pada perlawanan kedua FAS Tri-Nations Series 2022 Sabtu ini, sebelum turun dalam satu lagi aksi persahabatan tertutup menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 28 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram