IMC dah tahu, Perak FC terima LOI hari ini


  • Podium
  • Isnin, 21 Mac 2022

PROSES pengambilalihan Perak FC dijangka akan menyelamatkan pasukan itu yang berdepan krisis kewangan. — Facebook/Perak FC
KEMELUT melibatkan pasukan Perak FC nampaknya akan berakhir selepas surat tunjuk minat (LOI) daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih pentadbiran kelab diserahkan secara rasmi pada Isnin.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah yang berkata, pihaknya telah mengetahui mengenai butiran surat berkenaan yang secara keseluruhannya menjurus kepada pengambilalihan kelab itu.

"Kita dah berbincang dengan pihak yang berkenaan, cuma surat itu kami akan dapat Isnin. Apa yang boleh saya katakan ketika ini, memang ada pihak yang berminat mengambil alih Perak FC.

"Kami akan kongsikan perkara ini dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Insya-ALLAH kalau segala urusan pengambilalihan ini dipersetujui MFL, kita akan cuba selesaikannya dalam tempoh tujuh hari.

“Lagi pun kami pun perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada beberapa pihak berhubung perkara ini. Kami tidak boleh tergesa-gesa dalam membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan yang Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd yang juga sebagai pemilik Perak FC masih menunggu LOI daripada pihak yang berminat mengambil alih kelab itu.

Dalam pada itu, Muhammad Yunus mengesahkan Perak FC telah menerima bantuan kewangan daripada pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pihak pengurusan melibatkan Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood dan Ahli Lembaga Pengarah kelab berkenaan telah menemui sendiri Tunku Ismail berhubung perkara berkenaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

podium, sukan, bola sepak, perak fc, loi