Bakal dijual, Perak FC akhirnya temui sinar di hujung terowong


  • Podium
  • Isnin, 21 Mac 2022

PEMAIN Perak FC tidak dibayar gaji selama dua bulan. — Facebook/Perak FC

KEMELUT melanda Perak FC nampaknya memasuki episod baharu apabila pengurusan kelab itu mengesahkan bakal dibeli oleh pihak lain.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perak FC di laman Facebook, pemilikan kelab itu bakal bertukar tangan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood memaklumkan kepada kelab penyokong bahawa beliau merancang untuk menjual Perak FC susulan tekanan diterima daripada para pemain serta peminat.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan perbincangan dan penilaian awal pemilik baharu, maka IMC berkemungkinan besar akan menerima tawaran yang dikemukakan.

"Proses selanjutnya bagaimanapun tertakluk kepada Malaysian Football League (MFL) yang akan dimaklumkan tentang tawaran tersebut.

"Selepas pengambilalihan selesai dilakukan, IMC akan melepaskan semua tugas eksekutifnya, yang disebabkan oleh krisis, memberi tumpuan tentang cara mendapatkan dana dan mengenalpasti pelabur untuk membeli kelab," ujarnya.

Pada Disember 2021, Impact Media and Communication (IMC) memperoleh 100 peratus pegangan dalam Perak FC.

Namun, IMC berdepan tekanan hebat berikutan krisis kewangan Perak FC pada Januari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram