MEDIA tempatan sebelum ini melaporkan pemain Perak FC sudah dua bulan tidak menerima gaji.
Malahan, pasukan itu turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1.7 juta yang belum diselesaikan.
Ada juga laporan mendedahkan Perak FC bakal dibeli oleh pemilik baharu dalam waktu terdekat.
Kemelut melanda Perak FC itu mengundang kecaman daripada para penyokong yang mahukan penjelasan daripada IMC serta pihak pengurusan pasukan berkenaan.
Menurut Pengerusi Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd, Khairul Nizam Mahmood, tunggakan pembayaran gaji para pemain dan kakitangan Perak FC dijangka selesai menjelang hujung Mac.
"Kami tidak pernah tidak berusaha. Dengan apa yang ada, membantu sedikit sebanyak untuk kami cuba melunaskan tunggakan.
"Pihak IMC juga memerlukan sokongan, bukan nak minta duit sebab saya pun baru dua bulan mengambil alih Perak FC," katanya selepas perlawanan Liga Premier membabitkan Perak FC dan PDRM di Stadium Perak, Perak pada Ahad.
Pada Sabtu, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pengurusan Perak FC ada berjumpa dengan baginda untuk meminta bantuan berhubung tunggakan gaji tersebut.
"Saya ada beri bantuan kepada Perak FC tiga hari lepas untuk kurangkan beban membabitkan tunggakan gaji pemain.
"Saya tak boleh cakap berapa jumlah tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu dapat mereka selesaikan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media sewaktu mengadakan lawatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Tambahnya, sekiranya kemelut melanda Perak FC tidak mampu diselesaikan, beliau sedia melepaskan pemilikan kelab itu kepada pihak lain.
"Saya akan panggil wakil-wakil tertentu untuk menceritakan secara baik supaya kita semua faham keadaan Perak FC dalam masa terdekat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram