PEMAIN Johor Darul Takzim (JDT), Syamer Kutty Abba bertekad mahu membuktikan pemilihannya untuk pasukan kebangsaan adalah tepat.
Syamer dipilih oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon walaupun tidak banyak beraksi untuk JDT musim lalu akibat kecederaan dan hanya membuat satu penampilan sebagai pemain gantian dalam saingan Liga Super musim ini.
Keputusan Pan-gon itu mencetuskan tanda tanya namun pemain tengah tersebut mahu menutup mulut pengkritiknya dalam perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Filipina dan Singapura di Stadium Nasional Singapura minggu ini.
Pemain berusia 24 tahun itu kali terakhir beraksi untuk skuad kebangsaan sewaktu pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 - Piala Asia 2023 tahun lalu.
Sejak itu, dia diketepikan untuk kelab dan Harimau Malaya.
Kini cergas sepenuhnya, Syamer berharap dapat memberikan impak di bawah kendalian Pan-gon.
"Ia sentiasa menjadi penghormatan untuk menyarung jersi kebangsaan dan saya berharap dapat menarik perhatian kakitangan kejurulatihan untuk memperoleh tempat dalam kesebelasan utama.
"Saya sedar segelintir peminat mempersoalkan pemilihan saya tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa saya sudah bekerja keras untuk membuktikan kepercayaan mereka kepada saya," ujarnya yang pernah dipinjamkan ke kelab Portugal, Villaverdense pada 2018.
Syamer yang memiliki 22 penampilan antarabangsa sejak 2017, bagaimanapun terpaksa bersaing dengan rakan sepasukan dari JDT iaitu Nathaniel Shio Hong Wan, Safiq Rahim, Nazmi Faiz Mansor serta pemain Pahang, Nor Azam Azih dan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi.
"Persaingan sangat kuat tetapi bagi membolehkan saya dipilih, saya akan terus berlatih dengan gigih.
"Kami harap dapat membuktikan peningkatan dalam permainan apabila kembali dari Singapura sebelum bermain dalam pusingan kelayakan ketiga Piala Asia pada Jun," menurutnya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram