Pan-gon tahu apa dia buat — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 17 Mac 2022

SKUAD kendalian Pan-gon (tengah) bakal diuji tiga pasukan pada perlawanan persahabatan di Singapura bermula 23 hingga 28 Mac. — Facebook FAM

MASIH terlalu awal untuk menilai tahap dan kemampuan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon, dalam mengendalikan skuad kebangsaan.

Kenyataan itu dilontarkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, kemampuan seseorang jurulatih itu tidak boleh diukur berdasarkan saingan bagi satu musim sahaja, sebaliknya pengendali berusia 52 tahun itu perlu diberikan masa untuk membuktikan kemampuannya, bagi membawa kejayaan buat skuad Harimau Malaya.

"Saya pun masa baru ambil JDT, satu tahun saya tidak menang apa-apa, kalah sahaja, apabila seri itu rasa macam bersyukur sangat, kerana (ketika itu) saya baru ambil JDT. Mana pernah menang.

"Jadi tidak boleh nilai seseorang jurulatih untuk satu musim, sekurang-kurangnya kena bagi dua musim. Bagi dia (Pan -gon) masa, dia tahu apa dia buat,” titah baginda pada sidang media, di Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Baginda bertitah demikian ketika diminta pandangan sama ada jurulatih dari Korea Selatan itu merupakan individu yang tepat untuk mengendalikan pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail berpendapat pelantikan Pan-gon sebagai satu langkah positif dan akan memberikan satu kelainan, kerana beliau mempunyai perancangan buat skuad Harimau Malaya.

"Saya rasa langkah positif untuk Harimau Malaya. Kali ini akan akan berbeza, sebab apabila saya lihat struktur yang dia tunjukkan kepada saya, amat positif. Lebih kurang macam struktur kita di sini (JDT).

"Sebelum ini tidak ada, tetapi kini betul-betul ada pelan, ada pasukan perubatan, betul-betul pantau setiap pemain dalam negara,” titah baginda.

Skuad Harimau Malaya dijadual berdepan Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.

Ketika ditanya mengenai perkembangan penajaan kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Tunku Ismail menjelaskan, baginda akan melawat stadium berkenaan pada Sabtu ini.

"Jika ada kelulusan daripada kerajaan untuk (tajaan tanam rumput baharu) Stadium Nasional Bukit Jalil, saya akan buat secepat mungkin,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Ismail mengumumkan bahawa JDT menjalinkan kerjasama strategik dengan Universal Music South East Asia dan Def Jam Recordings SEA, bagi menghasilkan lagu tema rasmi kelab itu yang dilancarkan hari ini berjudul ‘Pioneers’.

Lagu berkenaan menampilkan penyanyi rap terkenal antarabangsa Snoop Dogg dan penyanyi rap tanah air, Joe Flizzow. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram